
KUALA LUMPUR - Jika ucapan penangguhan mengenai isu kemungkinan DAP mempunyai dua kumpulan pun boleh ditarik balik oleh presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, apa jaminan Kolaborasi Agung tidak akan berdepan penolakan, soal Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari.
Menurut Fadhli, sedangkan ucapan penggulungan adalah paling penting bagi seorang Presiden selepas ucapan dasar di hadapan seluruh perwakilan dari seluruh negara yang boleh dianggap sebagai amanat untuk semua ahli.
“Jika ucapan penggulungan, ucapan paling penting seorang Presiden parti selepas ucapan dasar di hadapan seluruh perwakilan dari seluruh negara, yang boleh dianggap sebagai amanat agung untuk dibawa ke setiap ahli di cawangan, dari pedalaman Sabah hinggalah ke hujung selatan Johor, pun boleh disanggah dan akhirnya ditarik balik, maka apakah jaminan Kolaborasi Agung tidak akan berdepan penolakan dan sanggahan yang sama?
“Melihat insiden apabila Datuk Seri Zahid menarik balik sebahagian ucapannya berhubung isu 'Team A dan Team B dalam DAP' selepas disanggah mentah-mentah oleh Setiausaha Agung DAP, timbul kegusaran tentang sejauh mana ketegasan gagasan Kolaborasi Agung ini mampu dipertahankan kelak,’’ katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Semalam, Zahid Hamidi yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) menarik balik kenyataan beliau yang menggambarkan seolah-olah DAP memiliki dua kem, jika ia menyinggung parti itu.
Presiden Umno itu berkata, kenyataan berkenaan yang dibuatnya dalam ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025, adalah untuk memperjelaskan situasi ada sekelompok kecil pemimpin DAP dilihat tidak selari dengan pucuk pimpinan parti berkenaan.
"Jika itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan itu.
"Namun, tidak langsung menjadi maksud kepada saya untuk menggambarkan wujud dua kem dalam parti itu. Cuma, mungkin ada perbezaan pendapat yang kecil (antara pemimpin DAP),’’ katanya.
Dalam pada itu, kata Fadhli, hakikatnya kesimpulannya Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa pada masih berupa idea yang belum jelas bentuk serta arah tuju dan meskipun namanya hebat, tetapi isinya belum meyakinkan.
Di pihak PAS, katanya, parti itu akan terus bekerja dan menjadikan Kerajaan Madani paling lama bertahan hanyalah sepenggal.
Pembentukan Kolaborasi Agung dan Rumah Bangsa itu, kata Fadhli ialah istilah yang kedengaran hebat dan menggambarkan suatu gabungan yang menyeluruh namun ia kurang meyakinkan terutama dari sudut hala dan matlamat akhir.
Ujarnya, jika ia bukan kerjasama politik dan tidak berkait dengan gerak kerja politik, maka mengapa ia perlu direalisasikan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU16).
“Dengan lebih jelas, mengapa ia perlu dikaitkan secara langsung dengan pilihan raya?.
“Jika benar ia sekadar ‘kolaborasi’, jadikanlah ia kerjasama bagi tujuan sosial atau kemasyarakatan, seperti kenduri besar atau himpunan muafakat, tanpa sebarang matlamat politik,’’ katanya.
Pada Sabtu, Zahid berkata Umno akan memanggil dan mengundang 10 pemimpin tertinggi setiap parti politik Melayu dan Islam untuk memulakan usaha pembentukan kolaborasi agung dalam masa terdekat.
Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata, rancangan penubuhan kolaborasi agung ini hadir, hasil pertemuannya dengan pemimpin parti politik Melayu lain termasuk PAS dan Bersatu serta pihak-pihak lain sebelum ini. - 19 Januari, 2026
The post Jika ucapan isu 2 kem DAP pun boleh tarik balik, apa jaminan Kolaborasi Agung tidak berdepan penolakan, soal PAS appeared first on Scoop.
