
KUALA LUMPUR — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar satu sindiket penyeludupan migran berprofil tinggi yang beroperasi secara terancang dengan menggunakan pelbagai negara transit, cap imigresen palsu serta laluan darat melalui Thailand dan Malaysia bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Operasi bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) bersama Bahagian AMLA, Ibu Pejabat JIM Putrajaya itu membawa kepada beberapa tangkapan di dua hab pengangkutan utama, iaitu Terminal Bersepadu Gombak dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil risikan dijalankan berjaya menjejaki kemasukan warga Indonesia ke Lembah Klang melalui Kelantan dengan menggunakan bas ekspres, selepas memasuki negara ini menerusi laluan berperingkat yang dirancang rapi.
“Dalam serbuan di Terminal Bersepadu Gombak, seramai dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia telah ditahan.
“Turut diberkas seorang lelaki senegara,?dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ yang menguruskan logistik serta pergerakan migran di sekitar Kuala Lumpur,” katanya,
Menurut beliau, tiga lelaki dan tiga wanita warga Indonesia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket sama ditahan di lokasi kedua di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
“Pihak berkuasa turut merampas sebuah kenderaan jenis Mazda CX-5 milik suspek,” katanya.
Jelas Zakaria, sindiket berkenaan mengubah modus operandi dengan meninggalkan laluan laut di perairan Selangor, sebaliknya beralih kepada penggunaan laluan udara dan darat yang lebih kompleks bagi mengelak pengesanan.
“Sindiket ini tidak lagi menggunakan laluan laut, sebaliknya beralih kepada pendekatan berlapis melibatkan kombinasi laluan udara dan darat.
“Taktik ini dipercayai digunakan kerana kebanyakan migran yang terlibat telah disenarai hitam daripada memasuki Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, migran terbabit dikesan mengelak penerbangan terus ke negara ini dengan menjadikan Singapura sebagai negara transit sebelum diterbangkan ke Hat Yai, Thailand.
Difahamkan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut digunakan sebagai lokasi transit sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi sama.
Setibanya di Hat Yai katanya, migran dipercayai ditempatkan di rumah selamat sebelum diseludup masuk ke Kelantan melalui laluan haram di sempadan Bukit Bunga, Tanah Merah.
“Mereka kemudiannya dibawa ke Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan bas ekspres yang beroperasi pada waktu malam dengan jadual berperingkat bagi mengelakkan dikesan,” katanya.
Tambah Zakaria, sindiket terlibat beroperasi secara berlapis dengan pembahagian tugas yang ketat bagi memutuskan komunikasi antara migran dan ahli rangkaian lain, sekali gus menyukarkan tindakan penguatkuasaan.
Siasatan juga mendapati rangkaian tersebut dikendali dalang utama yang berpangkalan di Indonesia, manakala perantara di Hat Yai bertanggungjawab memalsukan cap kemasukan imigresen dalam pasport migran.
Migran yang ditahan berusia antara 27 hingga 60 tahun dan dipercayai membayar antara RM3,500 hingga RM4,000 seorang kepada sindiket berkenaan.
“Kesemua tahanan kini ditempatkan di depot imigresen bagi siasatan lanjut di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
JIM memaklumkan siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti struktur penuh rangkaian serta kemungkinan wujudnya kerjasama rentas sempadan dalam operasi sindiket tersebut. - Getaran, 26 April 2026





