JIM tumpas sindiket e-PLKS palsu, 11 warga Bangladesh ditahan

15 Sep 2026 • 10:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

JIM tumpas sindiket e-PLKS palsu, 11 warga Bangladesh ditahan

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan kegiatan pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) elektronik (e-PLKS) susulan serbuan serentak di 11 premis di kawasan komersial Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata seramai 11 warga Bangladesh, termasuk seorang wanita berusia antara 23 dan 48 tahun, ditahan dalam Ops Serkap pada kira-kira 12.50 tengah hari kerana disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati premis berkenaan menawarkan perkhidmatan menyediakan e-PLKS palsu dengan bayaran sekitar RM150 bagi setiap dokumen, manakala laporan polis palsu ditawarkan pada kadar sekitar RM70 setiap satu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata pasukan operasi turut menyita 18 komputer riba, 21 pencetak dan pengimbas, tiga telefon bimbit, 10 pasport antarabangsa Bangladesh, selain beberapa keping e-PLKS dan laporan polis palsu yang telah siap dicetak.

Beliau berkata dokumen berkenaan dipercayai digunakan bagi mengaburi pihak kedutaan dalam urusan permohonan pasport antarabangsa Bangladesh.

Zakaria berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi serta pihak lain yang mungkin terlibat dalam kegiatan itu.

Beliau berkata operasi yang melibatkan 40 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu turut membawa kepada penahanan 19 warga asing yang disyaki melakukan kesalahan imigresen hasil pemeriksaan di sekitar lokasi.

"Hasil pemeriksaan tersebut, seramai 19 warganegara asing telah ditahan, terdiri daripada 16 warga Bangladesh iaitu 15 lelaki dan seorang wanita, seorang wanita Myanmar serta dua wanita Indonesia," katanya.

Beliau berkata kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi tujuan siasatan lanjut.

Zakaria berkata kes berkenaan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved