RM150 dapat e-PLKS palsu, RM70 laporan polis

15 Sep 2026 • 9:20 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RM150 dapat e-PLKS palsu, RM70 laporan polis

PETALING JAYA – Hanya RM150, e-PLKS yang disyaki palsu boleh diperoleh, manakala laporan polis palsu pula ditawarkan sekitar RM70 dalam kegiatan yang dibongkar Jabatan Imigresen (JIM) di Jalan Chan Sow Lin, di sini semalam.

Kegiatan itu terbongkar menerusi Ops Serkap yang menyerbu 11 premis komersial secara serentak kira-kira pukul 12.50 tengah hari, membabitkan 40 pegawai Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai menawarkan e-PLKS yang disyaki palsu pada kadar sekitar RM150 setiap dokumen.

“Seramai 11 warga Bangladesh terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 48 tahun ditahan dalam operasi itu.

“Pasukan operasi turut menyita 18 komputer riba, 21 pencetak dan pengimbas, tiga telefon bimbit, 10 pasport antarabangsa Bangladesh serta cetakan e-PLKS yang disyaki palsu dan beberapa laporan polis dipercayai dipalsukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zakaria, dokumen tersebut dipercayai digunakan bagi mengaburi pihak kedutaan dalam urusan permohonan pasport antarabangsa Bangladesh, manakala siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi dan pihak lain yang terlibat.

Katanya, hasil pemeriksaan di sekitar lokasi, seramai 19 warga asing turut ditahan JIM membabitkan 16 warga Bangladesh, seorang wanita Myanmar serta dua wanita Indonesia.

Kesemua mereka ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE

The post RM150 dapat e-PLKS palsu, RM70 laporan polis appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved