
KUALA LUMPUR 22 Dis – Jinyi Borneo Harvest Sdn Bhd (JBH) berjaya mengumpul RM2.99 juta melalui pembiayaan awam ekuiti (ECF) di platform Ata Plus Sdn Bhd, mencerminkan keyakinan pelabur semakin kukuh terhadap sektor pertanian lestari dan industri sarang burung di Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat pengeluar sarang burung berintegrasi penuh yang berpangkalan di Sabah itu berkata sebanyak RM2,999,910 telah berjaya dikumpulkan daripada 19 pelabur melalui Ata Plus, sebuah platform ECF berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Menurut syarikat itu, dana yang diperoleh akan digunakan bagi membuka lebih banyak rumah burung walit baharu serta memulihkan rumah burung sedia ada yang kurang berprestasi, sejajar dengan peningkatan permintaan sarang burung, khususnya dari pasaran China yang merupakan pengimport terbesar dunia.
JBH ditubuhkan bagi memodenkan industri sarang burung tempatan dengan menawarkan perkhidmatan menyeluruh merangkumi pembinaan dan pengurusan rumah burung walit, penuaian serta perdagangan sarang burung.
Selain mengurus aset sendiri, syarikat turut membantu pemilik rumah burung walit yang kurang berjaya melalui pemulihan aset dan memaksimumkan penggunaan tanah tidak produktif menerusi model perniagaan bersepadu.
Ketua Pegawai Eksekutif Jinyi Borneo Harvest Mak Wai Kit berkata kejayaan kempen ECF itu membuktikan keberkesanan model integrasi syarikat dalam memperkemas rantaian bekalan industri.
“Penyelesaian syarikat yang menyeluruh merangkumi keseluruhan rantaian nilai, daripada pembinaan rumah burung walit hingga ke perdagangan, bukan sahaja memperkasa pemilik tempatan malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pengeluaran sarang burung,” katanya.
Beliau berkata kejayaan pengumpulan dana itu merupakan langkah penting dalam mempercepatkan pertumbuhan syarikat serta memajukan industri sarang burung negara.
“Syarikat amat berterima kasih kepada para pelabur, Ata Plus dan Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) atas sokongan yang diberikan,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Ata Plus Elain Lockman berkata kejayaan JBH mencerminkan minat pelabur yang semakin meningkat terhadap projek agribisnes berpotensi tinggi.
“Industri sarang burung mempunyai prospek eksport yang sangat luas, dan model bersepadu yang diterapkan oleh JBH meletakkannya pada kedudukan kukuh untuk pertumbuhan global,” katanya.
Menurut MyCIF, program itu terus memainkan peranan penting dalam menggalakkan pembiayaan ECF dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya sektor pertanian.
Pada tahun lalu, MyCIF telah melabur bersama sebanyak RM264 juta dan menyokong 4,489 PKS di seluruh negara.
Pasaran global sarang burung dianggarkan mencecah nilai AS$14.9 bilion (RM61.1 bilion) menjelang 2032, dipacu oleh peningkatan kesedaran kesihatan dan inovasi produk nutraseutikal, terutamanya di rantau Asia Pasifik.
Pencapaian JBH itu sekali gus menyerlahkan peranan pembiayaan ECF sebagai saluran alternatif yang berkesan untuk PKS mengembangkan perniagaan, menembusi pasaran antarabangsa dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. - DagangNews.com
