Segmen isian semula, rantaian sejuk pacu pertumbuhan Ninja Van tarik 250 perniagaan baharu pada 2025

LocalBusiness & Finance
15 Dec 2025 • 11:22 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Segmen isian semula, rantaian sejuk pacu pertumbuhan Ninja Van tarik 250 perniagaan baharu pada 2025
image is not available
haziq15/12/2025 - 11:22 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Dis – Ninja Van Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh dalam segmen perniagaan ke perniagaan (B2B) sepanjang 2025, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan isian semula stok dan rantaian sejuk, menurut laporan Status Penghantaran 2025 yang dilancarkan syarikat itu hari ini.

 

Ninja Van berkata, segmen B2B, termasuk perkhidmatan isian semula stok, telah menarik lebih 250 perniagaan baharu sepanjang tahun, mencerminkan keperluan yang semakin meningkat dalam kalangan perusahaan terhadap penyelesaian logistik yang cekap dan berskala.

 

“Pertumbuhan segmen B2B ini menunjukkan peranan logistik yang semakin kritikal dalam menyokong operasi perniagaan, khususnya dalam pengurusan inventori dan penghantaran yang pantas serta boleh dipercayai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Ninja Van, selain B2B, perkhidmatan Ninja Cold turut berkembang pesat pada 2025 dengan menyokong lebih 1,000 pelanggan dalam sektor barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dan farmaseutikal. 

 

Segmen ini merangkumi jenama makanan sedia dimakan, pembekal makanan laut serta pengeluar konfeksi, sekali gus menandakan peningkatan ketara permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran bersuhu terkawal.

 

Secara keseluruhan, Ninja Van memaklumkan sepanjang 2025, syarikat telah memenuhi keperluan lebih 20 juta rakyat Malaysia melalui rangkaian penghantarannya di seluruh negara, menggambarkan peningkatan berterusan dalam perkhidmatan penghantaran serta perubahan tingkah laku pengguna dalam aktiviti beli-belah.

 

Menurut laporan Status Penghantaran 2025, Selangor dan Johor muncul sebagai negeri dengan pertumbuhan penghantaran paling pesat dan perbelanjaan tertinggi semasa musim perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali. 

 

Kedua-dua negeri itu turut tersenarai bersama Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang sebagai negeri dengan perbelanjaan tertinggi sepanjang tahun, berdasarkan jumlah penghantaran yang konsisten tinggi.

 

Dari segi kategori pembelian, Ninja Van berkata pengguna tempatan masih mengutamakan fesyen dan aksesori, suplemen kesihatan dan kesejahteraan, serta barangan rumah sebagai pilihan utama dalam e-dagang.

 

“Data ini mencerminkan landskap e-dagang yang semakin matang, di samping pertumbuhan pesat segmen B2B dan rantaian sejuk yang mengukuhkan kedudukan Ninja Van sebagai rakan logistik utama kepada pengguna dan perniagaan di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard