
KLUANG – Jiran kepada tiga sekeluarga yang maut dalam kebakaran di Jalan Satria 7/5, Taman Titiwangsa di sini malam tadi terkilan kerana tidak dapat membantu menyelamatkan mangsa.
Salah seorang jiran, Azlisam Md. Taff, 57, berkata, dia bersama beberapa jiran lain menggunakan paip air di rumah masing-masing untuk cuba memadamkan api dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu namun gagal.
“Selepas dimaklumkan tentang kebakaran itu, beberapa rumah gunakan paip getah untuk bantu sembur air. Tetapi air terlalu marak, ketika itu kami tidak jangka ada mangsa di tingkat atas. Setelah dapat tahu, seorang jiran memanjat bumbung hadapan rumah berkenaan untuk cuba membuka tingkap, tetapi gagal kerana keadaan ketika itu sudah terlalu panas.
“Ketika itu ada juga dengar jeritan, tetapi kami gagal bantu. Sangat sedih dan terkilan kerana hubungan jiran dengan mangsa sekeluarga sangat rapat, kami sudah tinggal bersama-sama di sini lebih daripada 20 tahun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi jiran, Jaafar Hussain, 57, pula berkata, hubungannya bersama keluarga mangsa rapat seperti adik beradik.
“Kami memang rapat seperti adik beradik, saya selalu bantu keluarga mangsa memasak apabila mereka menerima tempahan katering.
“Mangsa remaja yang maut juga sebaya dengan anak saya, saya anggap dia seperti anak sendiri. Jadi apabila kejadian ini berlaku, memang sangat terkilan,” katanya yang merupakan seorang pesara.
Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Pegawai Bomba Kanan I, Jusoh Mohd. Salleh dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 10.44 malam.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah rumah teres dua tingkat telah mengalami kemusnahan lebih kurang 50 peratus akibat kebakaran.
“Anggota juga mendapati terdapat tiga mangsa terperangkap di dalam rumah berkenaan. Pegawai kesihatan yang hadir mengesahkan ketiga-tiga telah meninggal dunia dipercayai kerana lemas akibat asap kebakaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Jiran ralat tak dapat selamatkan tiga beranak maut kebakaran appeared first on Kosmo Online.





