
INGIN menarik generasi muda tetapi dalam masa sama tetap mahu mengekalkan nostalgia 19 tahun lalu, itu impian besar yang berulang kali dituturkan tiga jelitawan hebat, Kris Dayanti, Titi DJ dan Ruth Sahanaya kepada HibGlam sepanjang tempoh pertemuan istimewa di Jakarta baru-baru ini.
Bertumbuh menjadi antara penyanyi yang berpengaruh di Indonesia dan Malaysia, impian tersebut terbit dalam diri masing-masing apabila dimaklumkan bakal kembali disatukan di atas satu pentas iaitu Konsert 3 Diva Live In Kuala Lumpur kelak.
Menurut Ruth, tiada harapan lain diinginkan ketika ini selain mahu generasi muda mengenali karya dan muzik mereka yang pernah mencipta fenomena tersendiri suatu ketika dahulu. Dalam masa sama, dia mahu semua itu berlaku tanpa paksaan.
Penyanyi Kaulah Segalanya itu berkata, generasi seangkatan mereka mungkin perlu melakukan sedikit usaha dan pujukan untuk menarik golongan muda turut hadir sekali gus berpeluang menikmati konsert 3 Diva nanti.
“Mungkin boleh disarankan. Mereka boleh beritahu anak-anak ‘jom tengok mak-mak dari Indonesia yang mempunyai lagu-lagu nostalgia.’ Mungkin mereka juga ada rasa ingin tahu sebab generasi sekarang sangat menghargai muzik.
“Namun kita tak boleh memaksa, jika mereka nak hadir, kami sangat mengalu-alukan cuma sasaran utama adalah penonton seusia yang mahu mengimbau memori,” jelasnya.
Katanya, bagi mempersembahkan kelainan, susunan muzik kali ini akan lebih segar dengan diselitkan elemen yang boleh membuatkan penonton bangun dan menari sepanjang acara.
“Kami banyak lagu balada dan pop tetapi kali ini mungkin ada elemen ‘hipdut’ (gabungan hip-hop dan dangdut) atau muzik-muzik yang popular ketika ini.
“Memang kami nak kekalkan nostalgia yang sudah tercipta 19 tahun lalu tetapi elemen kelainan itu perlu ada untuk buat konsert ini rasa segar selari dengan jiwa muda kami,” katanya sambil tertawa.
Penyanyi berusia 60 tahun itu sempat meluahkan rasa syukur apabila karya seni mereka bertiga masih mendapat tempat dalam kalangan pencinta muzik termasuk di Malaysia.
“Sudah berganti dekad tetapi karya dan nama kami masih diingati serta dikenang. Itu sudah cukup membahagiakan dan rasa syukur.
“Dalam bidang ini, jangan sesekali berhenti berkarya atau menyanyi, teruskan sahaja selagi masih diterima.
“Saya rasa kalau tidak terus melakukannya, seperti kita tak bersyukur kepada dengan bakat yang Allah SWT kurniakan.
“Jadi, jangan berhenti walaupun sentiasa mendendangkan lagu-lagu popular setiap kali konsert diadakan,” katanya lagi.

Sukar pilih lagu
Bakal diadakan di pentas berskala besar, Unifi Arena Bukit Jalil, segala idea dan konsep rancak dicurahkan tiga penyanyi tersebut kepada penganjur bagi memastikan acara konsert kelak memiliki kehebatan setara dengan edisi terdahulu yang pernah berlangsung sekitar tahun 2007.
Menurut Titi, 60, tiada apa yang lebih menggembirakannya apabila kembali berpeluang berkongsi karya-karya seninya dengan peminat di Malaysia.
“Ketika ini, semua perancangan berjalan lancar. Kami masih meramu dan mengadun semua idea-idea untuk konsert itu agar boleh memberikan yang terbaik kepada penonton.
“Misi utama adalah mahu mengajak semua yang hadir menyanyi bersama dan terbuai dengan nostalgia indah.
“Peminat yang rindu nak lihat kami sepentas di Malaysia, inilah masa terbaik,” jelasnya yang juga popular dengan lagu Bahasa Kalbu.
Katanya, perkara paling sukar untuk dilakukan adalah pemilihan lagu yang hendak dipersembahkan kepada penonton.
Ujar pelantun lagu Sang Dewi itu, setiap penyanyi memiliki karya hits yang mahu diperdengarkan dan perkara tersebut adalah antara cabaran terbesar untuk konsert nanti.
“Ini perkara yang sangat sukar kerana perlu memilih dalam lambakan lagu hits masing-masing.
“Kami sangat serius untuk proses ini bagi memastikan lagu-lagu yang dipilih dekat dengan peminat di Malaysia.
“Menariknya, kami akan bawa susunan muzik lebih segar dan peminat di Malaysia akan jadi orang pertama yang menikmatinya,” jelas tiga kepada ibu cahaya mata itu.
Bercerita tentang cabaran lain, Titi berkata, latihan vokal antara mereka juga kerap dilakukan bagi mendapatkan keharmonian dalam nyanyian agar tidak kedengaran cacamarba.
“Memang ada segmen persembahan solo tetapi konsert ini lebih kepada gabungan kami bertiga di atas pentas.
“Keserasian sudah wujud tetapi harmonisasi itu perlu dicari dalam setiap persembahan cuma perlu kerap berlatih.
“Sebenarnya memang agak sukar sebab usia masing-masing sudah matang dan vokal juga sudah tidak sama seperti 19 tahun lalu.
“Risau tetapi saya yakin semua itu boleh dilakukan dengan cemerlang oleh kami bertiga,” tambah Titi.

Persiapan mental, fizikal
Berkongsi mengenai persiapan, Kris memberitahu mereka bertiga mempunyai cara tersendiri bagi mempersiapkan mental dan fizikal menjelang konsert yang tiketnya sudah mula terjual sejak 5 September lalu.
Kris malah mengakui mereka juga ada rutin tersendiri bagi menjaga kotak suara termasuk menjaga pemakanan.
“Masing-masing mempunyai ‘ritual’ sendiri untuk memastikan pita suara tetap terjaga. Sudah pasti ada minuman yang kami jaga dan makanan yang kami jaga.
“Bersenam dan mendapatkan rehat yang cukup adalah rutin wajib tetapi paling untungnya ialah kami bertiga bukan perokok serta tidak mengambil minuman beralkohol,” ujarnya.
Jiwa yang penuh dengan harapan, penyanyi yang popular menerusi Menghitung Hari itu berdoa agar konsert yang dirancang berjalan dengan lancar dan meraih sambutan hebat.
“Bila dimaklumkan mengenai konsert ini, rasa syukur sangat menebal dalam diri ditambah pula kami bertiga memang banyak menyumbang dalam industri seni suara di Indonesia dan Malaysia.
“Kami bersyukur masih diberi peluang dan mampu berdiri dalam industri ini sehingga hari ini.
“Terima kasih juga kepada penganjur iaitu T-Rex Studio kerana mewujudkan kembali 3 Diva di Malaysia sekali gus mengimbau semua memori manis di sana,” akhirinya.
The post Jiwa muda ‘mak-mak 3 Diva Indonesia’ kembali panas appeared first on Kosmo Online.



