
KUALA PILAH – Seorang pesara tentera mempunyai cara tersendiri meraikan kemerdekaan negara iaitu dengan menghiasi kedai roti canai warisan keluarganya dengan Jalur Gemilang dan pelbagai barangan lain untuk tatapan pelanggannya.
Nasharudin Zakaria, 60, berkata, semangat patriotiknya masih menebal walaupun telah meninggalkan dunia tentera hampir 20 tahun lalu.
Katanya, dia bukannya mahu menunjuk-nunjuk tetapi menjadi kesukaannya sebagai seorang pesara tentera untuk terus menyumbang kepada semangat cintakan negara.
“Saya guna 200 Jalur Gemilang, patung dengan kostum askar dan pelbagai hiasan bertemakan kemerdekaan untuk menaikkan seri kedai.
“Semangat tidak pernah bersara. Saya mula hias sejak 1 Ogos lalu untuk meluahkan rasa cinta kepada negara dan tidak mahu anak-anak muda melihat, bertanya atau tidak faham apa itu kemerdekaan,” katanya ketika ditemui di Johol, di sini semalam.
Nasharudin yang berkhidmat selama 40 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia berkata, tradisi menghias kedai dilakukan bersama adiknya, Norhayati, 57.
Tambahnya, dia memperuntukkan RM500 untuk aktiviti tahunan itu dan tidak pernah menganggapnya sebagai membazir.
“Memang ada yang kata buat apa membazir duit, tetapi bagi saya janji hati puas. Wang boleh dicari, tetapi semangat untuk negara itu yang kita mahu teruskan,” katanya.
Tambahnya, antara perkara yang paling menggembirakan ialah apabila penduduk kampung dan pelanggan datang mengambil gambar berlatar belakangkan hiasan kemerdekaan yang disediakan.
“Saya mahu anak-anak kita ikut buat. Bila mereka nampak, mereka akan tertanya-tanya apa yang kita buat dan kenapa kita buat.
“Daripada rasa ingin tahu itu, mereka akan mula belajar tentang sejarah, tokoh perjuangan dan pengorbanan orang terdahulu untuk mendapatkan kemerdekaan,” katanya.
Bagi Nasharudin, semangat kemerdekaan tidak sepatutnya hanya dirasai pada 31 Ogos, sebaliknya perlu dipupuk setiap tahun dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
“Ini perjuangan kita selepas bersara. Kita mungkin tidak lagi memegang senjata, tetapi kita masih boleh menyumbang dengan cara kita sendiri,” katanya.
The post Jiwa patriotik askar pencen appeared first on Kosmo Digital.
