JKKP Terengganu siasat insiden pekerja maut dihempap kerangka troli

LocalPolitics
8 Nov 2024 • 1:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu

KUALA TERENGGANU - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu telah mengeluarkan Notis Larangan (NOP) kepada kontraktor projek ubahsuai lot kedai di sebuah pusat beli belah di sini berikutan kemalangan maut yang berlaku pada Rabu lalu.

JKKP dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan notis itu dikeluarkan kerana kegagalan kontraktor tersebut menyediakan kaedah yang selamat bagi kerja-kerja memunggah serta memindah barang-barang sehingga menyebabkan seorang pekerjanya maut.

"JKKP Terengganu akan menjalankan siasatan yang lengkap serta mengambil tindakan perundangan sekiranya terdapat pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan di tempat kerja sama ada melibatkan pekerja mahupun orang awam.

"Majikan atau orang yang berkerja sendiri bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengambil langkah kawalan risiko yang berkesan sebelum menjalankan aktiviti kerja," katanya.

Menurut kenyataan itu, mangsa merupakan remaja lelaki berusia 17 tahun dan masih bersekolah yang bekerja secara sambilan mengangkat bahan-bahan binaan dengan kontraktor dilantik di tapak pembinaan berkenaan.

Tambah kenyataan itu lagi, berdasarkan siasatan JKKP, kemalangan tersebut dipercayai berlaku kerana kerosakan pada kerangka troli ubahsuai.

Katanya, kerangka troli itu digunakan untuk kerja-kerja memindah bahan binaan tersebut ke tingkat atas bangunan pusat beli belah berkenaan.

"Kerangka troli tersebut telah patah dan menyebabkan beban jatuh menghempap mangsa.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala," jelasnya.