JKKP tunggu laporan insiden kebocoran paip gas butana di Kemaman, Terengganu

22/09/2025 - 09:45
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA TERENGGANU 22 Sept – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu sedang menunggu laporan penuh insiden kebocoran paip gas Butana milik PETRONAS Gas Bhd di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhampiran Kerteh dekat Kemaman pada sabtu lalu.
JKKP dalam satu kenyataan berkata, syarikat tersebut telah diarahkan untuk menyediakan laporan penuh siasatan insiden kepada pihak jabatan.
“JKKP akan menjalankan siasatan yang lengkap dan mengambil tindakan perundangan sekiranya terdapat pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Di bawah Akta ini, majikan yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum denda sehingga RM500,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya,” kata JKKP.
Jabatan itu juga memberi jaminan semua agensi berkaitan sedang bekerjasama rapat bagi memastikan keadaan terkawal.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan setakat ini.
Insiden itu disedari kira-kira pukul 9.49 pagi apabila asap putih dikesan di kawasan pembinaan.
Tindakan segera diambil dengan membunyikan siren kecemasan dan mengarahkan semua pekerja mengosongkan kawasan.
Panggilan kecemasan ke talian 999 dibuat dan pihak Bomba serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di lokasi pada jam 9.58 pagi.
PETRONAS Gas Berhad telah menutup dua injap utama untuk mengawal kebocoran dan sedang menjalankan kerja-kerja pengosongan gas dari paip berkenaan.
JKKP berkata, proses itu dijangka mengambil sekurang-kurangnya tiga hari.
“Kawasan kejadian telah diisytiharkan sebagai zon larangan masuk dengan kawalan keselamatan 24 jam oleh pihak PDRM.
“Sepasukan pegawai penyiasat dari pejabat JKKP Terengganu telah hadir di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal.
“Notis Larangan Kerja dikeluarkan terhadap semua aktiviti pembinaan di kawasan berkenaan sehingga keadaan disahkan selamat ,” katanya.
JKKP juga meminta orang ramai bertenang dan memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada Sabtu lalu, media melaporkan insiden kebocoran gas itu dengan penutupan jalan utama Kerteh-Ranggon kepada semua kenderaan susulan insiden itu.
Kebocoran berlaku kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan tidak melibatkan mana-mana kampung atau kawasan perumahan. - DagangNews.com
standard






