JKM perlu perkukuh latihan petugas kendali kes kanak-kanak

LocalFamily & Parenting
3 Sep 2026 • 2:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: JKM perlu perkukuh latihan petugas kendali kes kanak-kanak

PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu memperkukuh latihan komprehensif kepada petugas lapangan bagi memastikan mereka lebih bersedia mengendalikan kes kanak-kanak yang semakin kompleks.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengukuhan prosedur operasi standard (SOP) dan latihan amat penting terutama kepada petugas yang masih kurang pengalaman dalam mengendalikan kes di lapangan.

“Perkemaskan SOP, laksanakan latihan komprehensif buat petugas lapangan, kadang-kadang petugas tak ada pengalaman, itu yang masalah kita, kita kena beri mereka pendedahan,” katanya ketika merasmikan Ulang Tahun ke-80 Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini, hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, langkah itu penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan JKM kepada masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurut beliau, keperluan meningkatkan keupayaan petugas turut berkait rapat dengan cabaran perlindungan kanak-kanak yang kini semakin kompleks melangkaui dunia fizikal sekarang.

Beliau berkata, perkembangan teknologi dan media sosial turut mewujudkan cabaran baharu yang memerlukan pemantauan lebih berkesan terhadap keselamatan kanak-kanak.

Wan Azizah berkata, petugas JKM juga berdepan tekanan besar ketika melaksanakan tanggungjawab kerana perlu membuat keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan individu dan keluarga.

“Kadang-kadang ada yang membuat keputusan sukar demi menyelamatkan seorang kanak-kanak. Ada yang bersabar dengan trauma orang lain tiap-tiap hari,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha memperkukuh profesionalisme kerja sosial turut penting bagi meningkatkan keupayaan petugas dalam menjalankan tanggungjawab.

Katanya, perkara itu antara yang diberi penekanan menerusi Akta Profesion Kerja Sosial 2026 yang bertujuan memperkukuh standard kelayakan, kompetensi, etika dan akauntabiliti pengamal kerja sosial. – UTUSAN

The post JKM perlu perkukuh latihan petugas kendali kes kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved