JKM Respon Video Tular Rumah Kebajikan Kurung Kanak-kanak, Beri Makanan Tamat Tempoh

Entertainment
10 Apr 2025 • 3:40 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Malaysia Fight League (MFL) membuat pendedahan yang mengejutkan mengenai keadaan sebuah rumah kebajikan di Cheras, Selangor.

Video yang dikongsikan di laman Instagram mereka turut mengundang kemarahan orang ramai, apabila rumah yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan untuk anak-anak yatim tidak seperti yang digambarkan.

Menurut MFL yang datang ke pusat kebajikan itu pada bulan lalu, mereka berasa curiga apabila pada awalnya tidak dibenarkan untuk menyampaikan sendiri sumbangan dan berinteraksi dengan penghuni.

Alasan yang diberikan pihak pengurusan adalah disebabkan kanak-kanak ini ‘nakal’. Hanya sebahagian kecil yang dibenarkan untuk bertemu dengan pihak MFL.

image is not available

“Sampai sahaja di sana (rumah kebajikan) hanya separuh daripada anak-anak yang turun untuk menyambut kami. Lebih pelik kami diberitahu tidak dibenarkan memberi hadiah atau makanan kepada mereka. Tapi pada asasnya dia (pemilik) nak kami tinggalkan barang dan balik.

“Kami tak puas hati dan minta untuk duduk sekejap dan cakap dengan anak-anak di sana. Mereka (anak-anak) beritahu kami ramai lagi kawan-kawan mereka ‘terkunci’ dalam bilik. Bila kami naik atas, betul ada yang dikurung,” dakwanya.

Menemubual bersama beberapa kanak-kanak di situ, mereka mendakwa pernah diberi makanan rosak atau hampir tamat tempoh.

Menurut MFL, pihaknya telah membuat aduan kepada polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

JKM maklum ada terima aduan

Sementara itu, sumber Kosmo! melaporkan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima aduan berhubung kejadian di rumah kebajikan tersebut.

“Untuk makluman JKM ada terima aduan tersebut. Pegawai JKM turun semalam (9 April) dan laporan siasatan dan pemantauan sedang disediakan,” katanya.

Azmir berkata, rumah kebajikan berkenaan merupakan sebuah pusat pertubuhan bukan kerajaan berkediaman dan berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

Harap isu ini dapat diselesaikan segera.

Sumber: Instagram, Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.