KOTA KINABALU - Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) telah mengaktifkan siasatan dalaman berhubung insiden kemalangan melibatkan perkhidmatan kereta api dan motosikal troli yang berlaku di KM134/4 landasan kereta api Tenom-Pangi pada Selasa lalu.
Menurur kenyataan JKNS, pihaknya mengambil maklum berkaitan insiden kemalangan melibatkan perkhidmatan kereta api tersebut.
"JKNS telah mengaktifkan siasatan dalaman melalui Board Of Enquiry (Badan Penyiasatan Dalam) selaras dengan prosedur penyiasatan yang sedang berkuat kuasa.
"Pihak JKNS juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Tenom berhubung Insiden tersebut untuk makluman dan tindakan lanjut pihak berkuasa," kata kenyataan itu pada Khamis.
Kenyataan itu turut menjelaskan, sebarang tindakan susulan pihak JKNS adalah berdasarkan hasil laporan Badan Penyiasatan Dalaman tersebut.
"Ini selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Enakmen Keretapi 2017
"Pada masa ini, Siasatan Dalaman oleh Pihak JKNS dan Siasatan Pihak Polis sedang giat dijalankan," katanya.
Walaupun, insiden ini tidak melibatkan kemalangan jiwa namun pihak JKNS berasa kesal dengan apa yang berlaku, tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya telahpun meminta laporan daripada Pengarah JKNS berhubung insiden tersebut.
"Laporan siasatan awal telah diberikan kepada saya dan laporan ini juga telah dipanjangkan kepada pejabat Ketua Menteri Sabah pada Khamis.
"Saya akan membentangkan laporan siasatan ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah minggu hadapan iaitu pada 11 Mac ini," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan beberapa guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi berdepan detik cemas apabila kereta api yang dinaiki mengalami masalah brek lalu merempuh motosikal troli milik penduduk.



