JKR digesa pantau, baiki jalan rosak sebelum Aidilfitri

LocalPolitics
6 Mar 2025 • 4:27 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Ibrahim Tabir

KUNAK: Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa melakukan pemantauan lebih kerap dan mengambil langkah proaktif untuk membaiki jalan rosak, terutama jalan berlubang, sebelum sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Pertambahan kenderaan dijangka berlaku sebelum dan selepas musim perayaan. Jalan raya menjadi tumpuan pemandu kenderaan untuk balik bercuti.

“Sehubungan itu, jalan raya rosak, berlubang-lubang perlu dibaiki segera untuk mengelak berlakunya kejadian tidak diingini,” kata Presiden Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani.

Beliau juga mahu kerajaan melihat perkara itu dengan lebih serius. Tidak hanya dengan gesaan dan peringatan berulang daripada kepimpinan negeri, tindakan pantas perlu dilakukan.

“Jika ada peruntukan untuk pembaikan jalan raya, kenapa perlu ditunda pelaksanaannya?,” katanya.

Tinjauan Daily Express pada Rabu mendapati banyak lubang jalan dan juga rekahan di laluan persekutuan Jalan Kunak-Tawau (Kilometer 5, 6 dan 7) masih belum dibaiki.

Perkara itu telah dirujuk kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.

Nordin berkata, walaupun ada kerja pembaikan dilakukan, ia tidak dilaksana sepenuhnya kerana banyak jalan berlubang masih terbiar.

Sehubungan itu, beliau berkata, perlu ada tindakan proaktif pihak berkenaan dalam memastikan infrastruktur jalan raya yang digunakan setiap hari berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk pengguna.