JLand Group tandatangani Ikrar Bebas Rasuah perkukuh komitmen terhadap integriti

5 Jul 2023 • 9:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JLand Group tandatangani Ikrar Bebas Rasuah perkukuh komitmen terhadap integriti

diyana

05/07/2023 - 09:33

KUALA LUMPUR 5 Julai - JLand Group Sdn Bhd memperkukuhkan komitmen menegakkan integriti di seluruh operasinya dengan pelaksanaan beberapa inisiatif.

Cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation (JCorp) itu telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah untuk menegaskan pendiriannya terhadap integriti dan memerangi rasuah.

Pengarah Bahagian Hartanah dan Infrastruktur (REID) Jcorp, Datuk Akmal Ahmad berkata ikrar itu merupakan usaha JLand Group untuk memacu tadbir urus yang lebih baik dan menegakkan integriti.

Tambahnya, ikrar tersebut mengukuhkan dedikasi terhadap ketelusan, kebertanggungjawapan dan pengendalian perniagaan bertanggungjawab dalam organisasi.

“Ini sejajar dengan Prinsip T.R.U.S.T. di bawah Garis Panduan Prosedur Mencukupi, di mana Pengurusan Tertinggi komited untuk memastikan pematuhan penuh terhadap undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan antirasuah, serta mewujudkan pendirian kumpulan terhadap sebarang amalan rasuah,” ujar beliau selepas menandatangani ikrar itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, semalam.

image is not available
(Dari kiri) Pengarah Urusan JLand Group, Muaazam Mahmud; Ketua Unit Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, PPj Koo Lik Chi; Presiden dan Ketua Eksekutif Jcorp dan Pengerusi of JLand, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim; Pengerusi Damansara Holdings Berhad, Datuk Nor Azri Zulfakar; dan Datuk Akmal Ahmad pada majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah

Menurut JLand Group, kumpulan itu telah menggerakkan beberapa inisiatif utama termasuk Polisi Antirasuah, Polisi Hadiah dan Derma serta Konflik kepentingan.

Selain itu, kumpulan itu juga telah melaksanakan platform pemberitahuan maklumat (whistleblowing), menetapkan had kuasa untuk perwakilan kuasa dan autoriti, serta pengisytiharan aset.

Di samping itu, proses perolehan kumpulan juga telah diperkukuh dengan usaha wajar yang lebih baik dan penyertaan kakitangan, vendor dan pihak berkepentingan lain dalam I-Pledge.

Dalam memastikan komitmen jangka panjang terhadap penekanan ini, kumpulan itu berkata ia akan terus melaksanakan program pendidikan dan latihan komprehensif serta libat urus dengan SPRM.

image is not available

Jelasnya, langkah tersebut adalah penting untuk memperkasa pekerja dan pihak berkepentingan dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk membuat keputusan perniagaan yang beretika.

“Penekanan integriti JLand Group diselaraskan dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDGs) – SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Teguh – yang menggalakkan tadbir urus yang berkesan, bertanggungjawab dan inklusif di semua peringkat,” tambahnya.

Bersempena dengan pemeteraian ikrar itu, JLand Group turut menganjurkan ceramah integriti bertemakan ‘Fostering the Culture of Integrity: Managing Its Risks & Corporate Liability’. - DagangNews.com