liza01/10/2026 - 14:04 Dari kiri: Pengarah Urusan, Pelaburan Hartanah JLG Capital Sdn Bhd, Abdul Aziz Abdul Rasheed; Pengarah Urusan Kumpulan JLand Group (JLG), Datuk Sr Akmal Ahmad; Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Kasumigaseki Capital (Malaysia) Sdn Bhd, Tomohiro Honma; dan Pengarah Urusan dan Ketua Pengarah Eksekutif Kasumigaseki Capital (Malaysia) Sdn Bhd, Toshihiro Ohkuma. Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Okt – JLG Capital Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh JLand Group (JLG) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kasumigaseki Capital (Malaysia) Sdn Bhd (KCMY) bagi meneroka peluang pembangunan infrastruktur rantaian sejuk dan logistik automatik di Malaysia.
Kerjasama itu menggabungkan keupayaan JLG Capital dalam pelaburan dan pembangunan hartanah, pengetahuan pasaran tempatan serta rangkaian pemegang taruh dengan kepakaran KCMY dalam kemudahan rantaian sejuk dan penyimpanan automatik moden.
Menerusi kerjasama berkenaan, kedua-dua pihak akan meneroka penyelesaian untuk kemudahan penyimpanan barangan beku, sejuk, bersuhu terkawal dan bersuhu biasa.
Kerjasama itu dibuat ketika keperluan sektor perindustrian dan logistik semakin canggih yang meningkatkan keperluan terhadap infrastruktur yang lebih cekap dan berkeupayaan tinggi.
Gudang automatik dan kemudahan rantaian sejuk
Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak akan menilai potensi usaha sama bagi pelaburan, pembangunan, pemilikan dan operasi kemudahan logistik serta pergudangan sejuk di Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan JLG, Datuk Sr. Akmal Ahmad berkata, masa depan hartanah bukan hanya berkaitan lokasi operasi industri, tetapi turut melibatkan keupayaan industri untuk beroperasi dengan lebih cekap.
“Pendekatan itu memerlukan gabungan infrastruktur, teknologi dan kepakaran yang tepat bagi membantu perniagaan meningkatkan kecekapan, daya tahan serta daya saing.
“Kerjasama dengan KCMY mencerminkan pendekatan JLG untuk meneroka bagaimana infrastruktur rantaian sejuk moden dapat memenuhi keperluan industri yang semakin berubah, selain meningkatkan prestasi operasi dan menyokong peralihan kepada aktiviti bernilai lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Gabung kepakaran tempatan dan antarabangsa
JLG Capital akan menyediakan platform pembangunan tempatan bagi membantu merealisasikan peluang berkenaan kepada projek yang berdaya maju, termasuk melalui penyediaan tanah, akses pasaran, penyelarasan dengan pemegang taruh serta kemudahan pembiayaan.
JLG Capital juga berpotensi memanfaatkan platform pertumbuhan strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dalam meneroka peluang pembangunan berkaitan.
Sementara itu, KCMY akan membawa kepakaran khusus merangkumi keseluruhan kitaran projek, daripada perancangan dan pembangunan kepada pembiayaan, penyewaan serta pengurusan operasi.
Pengarah dan Pengerusi Eksekutif KCMY, Tomohiro Honma berkata, Malaysia menawarkan peluang bagi pembangunan infrastruktur rantaian sejuk moden yang menggunakan teknologi.
Beliau berkata, gabungan pengetahuan pasaran tempatan dan keupayaan pembangunan JLG Capital dengan pengalaman Kasumigaseki Capital dalam pembangunan serta operasi kemudahan penyimpanan sejuk automatik menyediakan asas untuk kedua-dua pihak meneroka potensi projek bersama.
Kerjasama itu turut selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi, peningkatan produktiviti dan pembangunan aktiviti perindustrian bernilai lebih tinggi. - DagangNews.com




