JOBBIE, Lotus’s perluas kempen kesihatan payudara empat kali ganda, sasar RM20,000 untuk MAKNA

LocalHealth & Fitness
2 Oct 2026 • 2:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JOBBIE, Lotus’s perluas kempen kesihatan payudara empat kali ganda, sasar RM20,000 untuk MAKNA Image from: JOBBIE, Lotus’s perluas kempen kesihatan payudara empat kali ganda, sasar RM20,000 untuk MAKNA johardy02/10/2026 - 14:00 Dari kiri, Wilfred Wong, Pengurus Besar IOI City Mall Sdn Bhd; Nisha Sanita, Ketua Bahagian MAKNA; Victor Chin, Ketua Pegawai Eksekutif JOBBIE Sdn Bhd; Azliza Baizura Azmel, Pengarah Perkhidmatan Korporat Lotus’s Malaysia; dan Densco Ong, Pengarah Jualan TCC Distribution Sdn Bhd. Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH editor@dagangnews.com

PUTRAJAYA 2 Okt - JOBBIE dan Lotus’s Malaysia memperluas kempen kesedaran kesihatan payudara dengan menawarkan 20,000 balang mentega kacang edisi terhad, empat kali ganda berbanding kempen sulungnya bersama Majlis Kanser Nasional (MAKNA) pada 2024.

 

Menerusi kempen Pink Wobbly Breast Odyssey yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2026, RM1 daripada setiap balang kempen yang dibeli akan disumbangkan kepada MAKNA, dengan sasaran sumbangan RM20,000 bagi menyokong usaha organisasi itu membantu pesakit kanser.

 

Kempen itu merupakan kesinambungan kerjasama pertama JOBBIE dengan MAKNA pada 2024 yang melibatkan 5,000 balang.


 

jobbie

 


JOBBIE merupakan jenama mentega kacang tempatan Malaysia. Menerusi kerjasama itu, syarikat berkenaan menggunakan pembungkusan produknya untuk menyampaikan maklumat mengenai kesihatan payudara kepada isi rumah, di samping mengumpul dana bagi membantu pesakit.

 

Balang kempen itu memaparkan ilustrasi payudara bersama maklumat mengenai tanda dan gejala lazim yang dikaitkan dengan kanser payudara, bagi menggalakkan keluarga membincangkan perkara yang sering dianggap memalukan atau sukar untuk diperkatakan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif JOBBIE Sdn Bhd, Victor Chin berkata, kempen itu mempunyai makna peribadi baginya kerana ibunya disahkan menghidap kanser payudara ketika beliau berusia kira-kira 10 tahun.


 

Victor Chin
Victor Chin

 

Sasar 20,000 keluarga

Walaupun ibunya terselamat daripada kanser itu, Chin berkata, beliau masih menjalani pemeriksaan berkala beberapa dekad kemudian.

 

Chin berkata, meletakkan maklumat mengenai kesihatan payudara pada produk kegunaan harian dapat membantu membawa perbincangan mengenai perkara itu keluar daripada persekitaran klinikal dan masuk ke dapur, pantri serta meja makan keluarga.

 

“Perkara utama adalah untuk mencapai 20,000 keluarga,” katanya pada majlis pelancaran di IOI City Mall, hari ini.

 

Beliau turut menggesa golongan lelaki supaya memainkan peranan lebih aktif dalam menyokong wanita dalam kehidupan mereka.

 

“Bagi lelaki, anak lelaki, abang, adik dan pasangan, jangan biarkan rasa kekok menghalang anda daripada mengambil berat terhadap wanita yang anda sayangi,” katanya.

 

Menurut Chin, kempen itu akan menjangkau pengguna menerusi 71 cawangan Lotus’s di seluruh negara.

 

Sokong pesakit kanser

Pengarah Perkhidmatan Korporat Lotus’s Malaysia, Azliza Baizura Azmel berkata, interaksi harian peruncit itu dengan masyarakat memberi peluang untuk menjadikan perbincangan mengenai kesihatan lebih mudah didekati.

 

“Menerusi kempen ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan payudara, sambil memberi pelanggan cara mudah untuk menyokong MAKNA dan menunjukkan solidariti kepada individu serta keluarga yang terkesan akibat kanser,” katanya.


 

Nisha Sanita, Head of Division of The National Cancer Council Malaysia (MAKNA)
Nisha Sanita Mohd Norha

 


Ketua Bahagian MAKNA, Nisha Sanita Mohd Norha berkata, dana itu akan menyokong bantuan organisasi berkenaan kepada pesakit kanser, khususnya mereka yang mempunyai kemampuan kewangan terhad.

 

“Di sebalik setiap sumbangan ada seorang individu, sebuah keluarga dan perjalanan yang memerlukan sokongan,” katanya.

 

Pencipta kandungan Chin Pui Ting, yang dikenali sebagai Dead Pudds, turut berkongsi pengalaman mengenai diagnosis kanser ibunya dan bagaimana perkara itu mengubah hubungan mereka serta mendorong beliau memberikan lebih banyak sokongan emosi dan kewangan.

 

“Selama ini terdapat banyak ketakutan mengenai kanser, tetapi saya fikir sudah tiba masanya kita berhenti membiarkan ketakutan menentukan cara kita menjaga kesihatan,” katanya.


 

Chin Pui Ting
Chin Pui Ting

 


IOI City Mall menyokong pelancaran itu sebagai penaja lokasi, manakala MAKNA Awareness Truck menyediakan pengalaman interaktif menggunakan teknologi realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR) dari 2 hingga 4 Oktober 2026.

 

Konsultasi kesihatan payudara dan penilaian risiko secara percuma turut disediakan di kanopi khas MAKNA sepanjang program tiga hari itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved