
Pelumba MotoGP, Johann Zarco, bukan sahaja dikenali di litar, tetapi juga mempunyai bakat dalam bermain muzik. Sejak kecil, pelumba Perancis ini telah belajar bermain piano dan gitar, dipengaruhi oleh abangnya yang merupakan pemuzik berbakat dan memiliki pendidikan formal dalam muzik. Zarco turut belajar secara kendiri melalui YouTube, memahami kord, dan mampu memainkan pelbagai lagu.
Walaupun mengakui dirinya tidak pandai menyanyi, Zarco sering mengambil peluang untuk bermain muzik, termasuk ketika Suzuka 8 Hours baru-baru ini, di mana beliau mengiringi rakan-rakan pelumba menyanyikan lagu-lagu popular Perancis.
Pada usia 35 tahun, Zarco sedar kerjayanya di MotoGP semakin menghampiri penamat. Beliau tidak menyembunyikan hasrat untuk memberi lebih tumpuan kepada muzik selepas bersara.
“Menjadi pemuzik sepenuh masa mungkin jauh lagi, tetapi saya benar-benar sukakannya. Selepas motosikal, ini adalah sesuatu yang saya mahu beri perhatian kerana ia memberi ketenangan jiwa,” Johann Zarco
Selain sebagai pelumba yang berdisiplin di litar, Zarco melihat muzik sebagai medium untuk mengekspresikan diri di luar dunia perlumbaan. Bagi beliau, muzik bukan sekadar hobi, tetapi satu cara untuk mengisi kehidupan selepas bersara dengan aktiviti yang membina dan memberi kepuasan peribadi.
The post Johann Zarco Mahu Fokus Muzik Selepas Bersara dari MotoGP appeared first on TW Media.

