Johor bentuk ‘task force’ keselamatan sekolah, perketat kawalan elak tragedi berulang

LocalPolitics
6 May 2026 • 12:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Johor bentuk ‘task force’ keselamatan sekolah, perketat kawalan elak tragedi berulang
Aznan pada sidang DUN Johor di Kota Iskandar.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor akan menubuhkan jawatankuasa khas atau ‘task force’ bagi memperkukuh tahap keselamatan murid, pelajar dan keseluruhan warga sekolah.

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, penubuhan jawatankuasa itu bertujuan memastikan semua garis panduan keselamatan dipatuhi secara menyeluruh di setiap institusi pendidikan.

Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi mengelakkan nahas yang berlaku di hadapan sekolah di Parit Sulong, Batu Pahat pada Selasa, tidak berulang.

“Setiap sekolah perlu melaksanakan penilaian risiko secara berkala termasuk merekod pergerakan murid ketika datang dan pulang dari sekolah.

“Penambahbaikan juga perlu dibuat dari semasa ke semasa supaya tahap keselamatan sentiasa berada pada tahap optimum,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pengurusan sekolah juga perlu memperketat kawalan pergerakan terutama pada waktu puncak dengan menempatkan guru bertugas, pengawal keselamatan atau warden trafik bagi mengawal aliran murid dan kenderaan.

Selain itu, katanya, kemudahan keselamatan seperti papan tanda amaran, had laju kawasan sekolah, lintasan pejalan kaki (zebra crossing) serta penghadang keselamatan perlu diselenggara dengan baik bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Aznan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor bersama Pejabat Pendidikan Daerah akan terus memperkukuh pemantauan serta menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan dan polis bagi memastikan aliran trafik di kawasan sekolah sentiasa selamat dan teratur.

Pada Selasa, seorang murid perempuan berusia lapan tahun maut selepas dipercayai dilanggar sebuah van di hadapan pagar sebuah sekolah rendah di Parit Sulong, Batu Pahat.