Johor dinobat destinasi pelancongan Malaysia sempena MATTA Fair 2026

LocalTravel
12 Mar 2026 • 4:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Fazil Khan (kiri) dan Jeffri ketika Sidang Media MATTA Fair 2026 di ibu negara pada Khamis
image is not available
Dr Fazil (kiri) dan Jeffri.

KUALA LUMPUR - Keunikan budaya, warisan dan 'hidden gem' Negeri Johor menjadi antara tawaran menarik sempena MATTA Fair April 2026 apabila negeri selatan tanah itu dinobatkan sebagai destinasi pilihan Malaysia bagi acara promosi pelancongan terbesar yang bakal berlangsung dari 3 hingga 5 April depan.

MATTA Fair yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini juga kembali dengan skala lebih besar, meliputi keluasan 40,820 meter persegi merentasi 10 dewan pameran.

Naib Presiden (Pengangkutan Udara), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Dr Fazil Khan berkata, penganjuran kali ini dijangka menampilkan kepelbagaian tawaran pelancongan yang lebih luas, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan MATTA bersama pemain industri dalam memperkukuh sektor pelancongan negara.

"Dikenali sebagai Permata Selatan, Johor terus menyerlah dengan keindahan budaya serta pelbagai tarikan pelancongan.

"Kedudukannya yang strategik berhampiran sempadan Singapura juga menjadikannya pintu masuk yang mudah diakses oleh pelancong," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Untuk rekod, Johor merekodkan 25 juta pelawat asing pada 2025, manakala 1.91 juta pelawat direkodkan setakat Januari tahun ini.

**media[3461304]**

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 78 peratus merupakan pelawat dari Singapura, sekali gus menggambarkan hubungan perjalanan yang kukuh antara kedua-dua negara jiran itu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Majestic Johor Tourism Sdn Bhd, Jeffri Munir berkata, dengan pengiktirafan tersebut, Johor mensasarkan menarik 12 juta pelancong dengan jangkaan pendapatan sekitar RM42 bilion.

Katanya, ia juga bersempena dengan Tahun Melawat Johor 2026 yang turut mempromosikan kawasan-kawasan unik, produk dan gastronomi Johor.

"Kita juga bakal membuat pertukaran memorandum persefahaman (MOU) dengan TikTok Malaysia untuk mempromosikan kempen dengan kerjasama syarikat tempatan Johor.

"Selain itu, kita juga akan melancarkan laman web baharu Melawat Johor 2026 termasuk mengemaskini promosi di sosial media 'Mehla Johor'," katanya.

Johor juga akan memperkenalkan beberapa pengalaman dan tarikan pelancongan baharu antaranya seperti Muzium Tokoh, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar dan Kampung Sungai Melayu, selain destinasi rekreasi yang dinaik taraf serta pengalaman budaya yang menonjolkan keunikan warisan, alam semula jadi dan pelancongan berasaskan komuniti di negeri tersebut.

Sementara itu, setakat ini, sebanyak 2,043 reruai disediakan di MATTA Fair dengan penyertaan 330 organisasi.

Pameran tersebut turut menampilkan penyertaan 210 agensi pelancongan, enam Organisasi Pelancongan Kebangsaan (NTO), 11 Organisasi Pelancongan Negeri (STO), 63 hotel dan resort, sebuah syarikat penerbangan, 11 taman tema serta 28 penyedia perkhidmatan berkaitan pelancongan.

Bagi memastikan pengalaman pengunjung lebih lancar, MATTA Fair menawarkan kemasukan percuma dan dibuka dari 10 pagi hingga 9 malam sepanjang tiga hari penganjuran, dari Jumaat hingga Ahad.

Pengunjung juga digalakkan menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma yang disediakan dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC.

Bagi pengunjung yang memandu, kemudahan parkir disediakan di MITEC South Entrance Basement, MITI Basement, MATRADE Open Parking, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Open Parking, The MET Basement, MET 1 Basement dan MET 9 Open Parking.