Johor Pertimbang Kerja 4 Hari Setengah Seminggu Untuk Sektor Awam, Ini Sebabnya…

Entertainment
21 Nov 2024 • 1:16 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Sistem kerja empat hari dalam seminggu sudah mula dilaksanakan di beberapa negara maju yang dikatakan bagi mengekalkan produktiviti para pekerja.

Sementara itu di Malaysia, Johor kini sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri ini kepada empat hari setengah.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata, ia susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Oleh sebab itu, katanya kerajaan negeri kini sedang giat melakukan penambahbaikan bagi mempertingkatkan produktiviti dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatannya.

image is not available

Beliau berkata, ia termasuk memperkasa perkhidmatan digital dengan penambahan urusan yang boleh dilaksanakan secara dalam talian.

Selain itu, kerajaan Johor juga akan memanjangkan waktu operasi perkhidmatan kaunter kritikal untuk terus beroperasi termasuk pada waktu rehat di antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang.

Seterusnya, waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan pihak berkuasa tempatan akan diseragamkan.

“Sekiranya usaha-usaha penambahbaikan tersebut berjalan dengan baik dan lancar, insya-Allah pada masa hadapan kerajaan negeri bersedia untuk mempertimbangkan cadangan perubahan waktu bekerja kepada empat hari setengah tanpa mengurangkan keseluruhan tempoh jam bekerja untuk sektor awam,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan itu perlu terlebih dahulu mendapat pekenan pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.