
JAGUH muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar mahu menebus kekalahan kepada Diego Paez apabila kedua-duanya kembali bertembung dalam aksi ulangan pada The Inner Circle 35, malam ini.
Johan, yang lebih dikenali sebagai Jojo berkata, dia melakukan penambahbaikan sepanjang kem latihan kali ini, terutama dari segi kepantasan, serangan dan teknik bagi memastikan persembahan lebih baik berbanding pertemuan terdahulu.
“Saya sudah memperbaiki banyak perkara termasuk kepantasan dan menggilap senjata yang saya ada,” katanya.
Mengulas kekurangan dalam pertarungan pertama, Johan menegaskan dia sudah menonton semula aksi berkenaan beberapa kali, namun memilih untuk tidak mendedahkan aspek khusus yang sedang diperbaikinya menjelang pertemuan itu.
“Saya tidak akan mendedahkan perkara yang sedang saya perbaiki, tetapi ada banyak perkara kecil yang perlu saya betulkan,” ujarnya.
Kekalahan terbaharunya kepada Ramadan Ondash juga tidak mematahkan semangat Johan, yang kekal percaya kepada proses latihan dan menjadikan setiap pertarungan sebagai peluang untuk meningkatkan kemampuan diri.
“Saya tidak terlalu memikirkan perkara itu. Saya percaya pada proses. Saya hanya menikmati pertarungan dan jika saya terus meningkat selepas setiap perlawanan, lambat-laun saya tahu masa saya akan tiba,” katanya.
Johan turut menegaskan keputusan menang atau kalah tidak mengubah dirinya, sebaliknya dia lebih mementingkan usaha maksimum yang diberikan dalam setiap kem latihan dan pertarungan.
Mengulas pertemuan semula dengan Paez, Johan yakin peningkatan yang dicapai sejak pertarungan pertama akan menyukarkan lawannya mengambil kesempatan terhadap gaya pertarungan agresif yang menjadi identitinya.
“Saya sudah banyak meningkat sejak pertarungan terakhir dengannya dan saya akan tunjukkan pada Jumaat ini. Saya masih petarung yang gemar memberi tekanan, malah kini saya lebih menikmatinya,” tambahnya.
The post Jojo mahu tutup episod kekalahan appeared first on Kosmo Online.


