
JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo (gambar) pada Selasa berlepas ke Belgium untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Kesatuan Eropah (EU).
Perdana Menteri Kemboja Hun Sen yang juga Pengerusi ASEAN 2022 dan presiden Majlis Eropah Charles Michel akan mempengerusikan bersama sidang kemuncak itu di Brussels.
Joko Widodo menegaskan hubungan baik antara ASEAN dan EU penting untuk perdagangan dan pelaburan masa depan.
Beliau berkata EU adalah rakan dagang ketiga terbesar ASEAN selepas China dan Amerika Syarikat, dengan jumlah dagangan bernilai AS$268.9 bilion (AS$1=RM4.42) pada 2021.
Pada 2021, EU menjadi penyedia pelaburan langsung asing (FDI) kedua terbesar di ASEAN selepas China, dengan aliran masuk FDI berjumlah AS$26 bilion.
“Sudah pasti Indonesia mahu melihat peningkatan dalam dagangan dengan EU, dan EU akan meningkatkan lagi pelaburan di Indonesia,” menurut Joko Widodo di lapangan terbang sebelum berlepas.
“Beliau ditemani isterinya Iriana dan menteri kabinet termasuk Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto, Menteri Luar Negeri Retno Marsudi dan Menteri Perindustrian Agus Gumiwang Kartasasmita.
Pada sidang kemuncak itu, ASEAN dan EU akan meraikan 45 tahun hubungan diplomatik berasaskan nilai dan prinsip bersama, termasuk order antarabangsa berasaskan peraturan selain perdagangan yang bebas dan adil.-Bernama


