Menteri Luar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-EU di Brussels

Politics
12 Dec 2022 • 7:08 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (gambar) selaku Wakil Khas Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) yang berlangsung buat julung kalinya di Brussels, Belgium, pada 14 Dis.

Sidang kemuncak itu dijangka membincangkan hala tuju hubungan dialog ASEAN-EU serta kerjasama politik keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya, perubahan iklim, keselamatan makanan dan pembangunan mampan, menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini.

Pada 13 Dis, Zambry dijadualkan menghadiri C-Suite Luncheon anjuran Majlis Perniagaan EU-ASEAN bagi sesi libat urus bersama pemimpin perniagaan di Eropah.

Beliau akan diiringi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Liew Chin Tong dan pegawai kanan MITI.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa di luar Sidang Kemuncak Peringatan, Malaysia dan EU dijadualkan menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Perkongsian dan Kerjasama.

Perjanjian ini menyasar untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk hubungan politik, perdagangan dan pelaburan, tenaga, pengangkutan, pertanian, kewangan dan maritim.

Menteri Luar turut dijadualkan mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawat dari ASEAN dan EU untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Penyertaan Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dialog ASEAN-EU

“Ia juga merupakan peluang untuk Malaysia berkongsi pandangan mengenai isu-isu berkepentingan strategik,” menurut kenyataan itu.

Menteri Luar turut menghoskan majlis makan malam untuk rakyat Malaysia di Belgium.-Bernama