
GEORGE TOWN: Gerakan membeli produk tempatan perlu ditransformasikan daripada sekadar kempen promosi kepada gerakan nasional bagi membina produk dan jenama Malaysia yang mampu menembusi pasaran global.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata transformasi menerusi inisiatif Jom Beli Produk Malaysia atau Jom Malaysia itu penting bagi memastikan produk tempatan bukan saja mendapat tempat dalam pasaran domestik malah berkembang ke peringkat serantau dan antarabangsa.
“Jom Malaysia bukan sekadar pertukaran nama atau logo sebaliknya satu anjakan strategik dengan matlamat lebih jelas dan pelaksanaan lebih tersusun.
“Inisiatif ini bukan sekadar menukar nama atau logo. Ini adalah satu anjakan strategik daripada sebuah kempen promosi kepada sebuah gerakan nasional yang lebih jelas matlamatnya dan lebih tersusun pelaksanaannya,” katanya ketika berucap pada perasmian Jom Malaysia Pulau Pinang 2026 pada Sabtu.
Armizan berkata gerakan berkenaan berteraskan empat perkara utama iaitu gerakan nasional berasaskan patriotisme ekonomi, pendekatan seluruh negara, keterangkuman produk tempatan dan peluasan pasaran.
Menurutnya patriotisme ekonomi bukan bermaksud rakyat perlu membeli produk tempatan hanya kerana ia dihasilkan di Malaysia sebaliknya keyakinan perlu dibina terhadap kemampuan produk negara bersaing berdasarkan kualiti, nilai, inovasi dan kekuatan jenama.
“Produk Malaysia bukan lagi hanya tertumpu kepada barangan pengguna atau makanan dan minuman.
“Ia merangkumi perkhidmatan, industri kreatif, fesyen, tekstil, kraftangan, reka bentuk, teknologi dan gaya hidup.
“Justeru pendekatan ini memerlukan kerjasama kerajaan, industri, usahawan, peruncit, platform digital, media, komuniti dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Sehubungan itu katanya kerajaan tidak mahu Jom Malaysia terhenti pada pasaran domestik saja sebaliknya produk tempatan perlu berkembang daripada lokal kepada nasional seterusnya serantau dan akhirnya global.
Bercakap mengenai program berkenaan Armizan berkata transformasi Jom Malaysia bermula di Pasar Seni Kuala Lumpur pada 27 Jun sebelum diperluaskan ke Sandakan, Sabah pada 24 Julai lalu.
Katanya pelbagai inisiatif turut dilaksanakan termasuk Kita Klik! bagi memperluas kehadiran produk tempatan dalam ekosistem e-dagang selain Dari Kita Untuk Kita yang menghubungkan produk tempatan dengan rangkaian pasar raya dan peruncit.
Menurutnya, pendekatan Local to Global Retail pula membuka laluan kepada produk Malaysia menembusi pasaran antarabangsa melalui jaringan peruncitan luar negara.
“Jom Malaysia bukan sekadar tentang membeli. Ia tentang membina. Membina produk dan membina jenama. Produk dan jenama Malaysia.
“Justeru produk yang hari ini dihasilkan pengusaha kecil di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak atau negeri lain berpotensi untuk suatu hari nanti berada di rak peruncitan luar negara,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Armizan berkata kementeriannya sudah mengemukakan permohonan serta beberapa teras penting untuk dipertimbangkan Kementerian Kewangan (MOF) dalam penyediaan Belanjawan 2027 dengan mengambil kira keperluan semasa dan kemampuan fiskal negara.
Katanya KPDN juga berharap peruntukan berkaitan subsidi, kepenggunaan dan kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian bagi membolehkan kementerian melaksanakan tanggungjawabnya khususnya memastikan kestabilan bekalan dan harga barangan.
“Antara perkara yang diberi perhatian termasuk kesinambungan subsidi di bawah KPDN seperti Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), subsidi minyak masak serta Program Penyeragaman Harga bagi Sabah dan Sarawak.
“Pada masa sama KPDN akan terus bekerjasama dengan MOF dan kementerian berkaitan bagi memastikan setiap peruntukan yang disediakan dimanfaatkan secara optimum, bersasar serta memberi manfaat langsung kepada rakyat,” jelasnya.






