
KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan bakat dan hiburan, Reveillon Creations memeterai kerjasama pelesenan Douyin bersama 3Z LIVE bagi mewujudkan laluan rentas sempadan untuk pencipta kandungan tempatan menembusi pasaran video pendek China.
Kerjasama berkenaan membolehkan penstrim langsung dan pencipta bahan baharu dari Malaysia mengakses ekosistem Douyin yang memiliki lebih 750 juta pengguna aktif harian bagi membina kehadiran jenama peribadi di peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Reveillon Creations, Alvin Wong berkata, langkah itu bertujuan menyokong bakat tempatan beralih daripada kebergantungan pendapatan berasaskan satu platform kepada pelbagai sumber komersial lain termasuk filem, muzik dan kempen jenama.
“Malaysia mempunyai kelompok bakat kreatif yang dinamik, namun pendedahan sahaja tidak mencupi untuk membina kerjaya berkekalan. Kerjasama kami bersama 3Z LIVE membuka laluan berstruktur ke pasaran China menerusi sokongan profesional dan teknologi.
“Hasrat utama kami adalah untuk membolehkan pencipta kandungan berkembang melangkaui penstriman langsung biasa ke dalam industri hiburan yang lebih luas,” katanya semasa majlis permeteraian kerjasama perlesenan di AI V Gallant GPU Lounge Midvalley hari ini.
Sebagai sebahagian daripada pelancaran platform generasi baharu itu, Reveillon Creations turut memanfaatkan infrastruktur AI V Gallant GPU Lounge yang dikuasakan oleh unit pemprosesan grafik (GPU) berprestasi tinggi seperti NVIDIA Blackwell bagi tujuan analisis data dan automasi kandungan.
Mengulas lanjut, Alvin berkata, syarikat menyasarkan untuk menarik sehingga 500 bakat tempatan menjelang akhir tahun ini, berbanding sekitar 40 pencipta kandungan yang bernaung di bawah mereka ketika ini.
“Syarikat turut menyewa ruang tambahan seluas 2,400 kaki persegi di sebelah GPU Lounge bagi membina studio siaran langsung profesional merangkumi lapan bilik penstriman kecil dan satu bilik utama bersaiz besar bagi kegunaan siaran berpasukan.
“Langkah perluasan itu turut merangkumi perancangan jangka panjang untuk mengintegrasikan bakat tempatan dengan rangkaian jenama makanan dan minuman (F&B) di bawah kumpulan syarikat, selain perancangan melabur dalam syarikat penerbitan filem,” katanya.
Bakat yang bernaung di bawah syarikat berkenaan akan mendapat akses kepada kemudahan studio siaran langsung profesional serta bimbingan operasi dan penjenamaan.
Sementara itu, Pengasas 3Z LIVE, Leo Zhou berkata, kerjasama tersebut akan membantu pencipta kandungan Malaysia memahami dinamik pasaran tempatan China dan strategi pengendalian ekosistem Douyin dengan lebih berkesan.
“China menawarkan capaian yang sangat luas, namun bakat baharu memerlukan pengetahuan pasaran tempatan dan sokongan operasi yang tepat untuk bertapak,” katanya. -UTUSAN
The post Reveillon Creations sasar 500 bakat tempatan tembusi pasaran Douyin China appeared first on Utusan Malaysia.





