Jom teropong bintang, matahari di Balai Cerap Negeri Sembilan!

SpaceTravel
28 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jom teropong bintang, matahari di Balai Cerap Negeri Sembilan!
Petugas Balai Cerap Negeri Sembilan memberikan penerangan berkenaan bidang astronomi kepada pengunjung.
Image from: Jom teropong bintang, matahari di Balai Cerap Negeri Sembilan!
Pameran batu meteor sebenar antara tarikan di Balai Cerap Negeri Sembilan.
Image from: Jom teropong bintang, matahari di Balai Cerap Negeri Sembilan!
Pengunjung berpeluang menggunakan teleskop terbesar di Malaysia.
Image from: Jom teropong bintang, matahari di Balai Cerap Negeri Sembilan!
MUZAMIR

**media[3628289]**

Jika mahu melihat matahari, bulan dan planet dengan lebih dekat, Balai Cerap Negeri Sembilan boleh menjadi destinasi menarik untuk dikunjungi bersama keluarga.

Terletak di kawasan pelancongan Teluk Kemang, Port Dickson, balai cerap terbabit menawarkan pengalaman unik meneroka dunia astronomi menerusi aktiviti cerapan, pameran sains dan kemudahan teleskop yang pastinya memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

Lebih menarik, di situ ditempatkan teleskop terbesar di Malaysia yang menjadi antara tarikan utama bagi pengunjung yang mahu melihat objek cakerawala dengan lebih jelas.

Dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi, manakala sehingga jam 9 malam pada Jumaat hingga Ahad, pengunjung boleh membuat pembelian tiket secara dalam talian.

Penolong Pegawai Kanan Balai Cerap Negeri Sembilan, Muzamir Mazlan berkata, pengunjung berpeluang mencerap pelbagai objek di langit termasuk matahari pada waktu siang, manakala bulan dan planet boleh dilihat pada waktu malam, bergantung kepada kalendar astronomi dan keadaan cuaca.

**media[3628290]**

Pengunjung boleh menghubungi pihak Balai Cerap atau layari laman sesawang untuk maklumat lanjut berkaitan objek cakerawala yang dapat dilihat pada waktu malam.

"Bagi pengunjung yang datang pada waktu siang, kita ada teleskop matahari yang membolehkan mereka melihat matahari.

"Pada waktu malam pula, pengunjung berpeluang melihat bulan dan planet serta objek lain yang boleh dicerap berdasarkan kalendar astronomi bergantung kepada keadaan cuaca," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, lawatan akan bermula dengan penerokaan sejarah penubuhan balai cerap, termasuk detik penting dan sumbangannya dalam bidang astronomi di negara ini.

Ujarnya, pengunjung juga dapat melihat pameran menyeluruh mengenai sistem suria, lengkap dengan visual interaktif yang menerangkan ciri-ciri planet, bulan dan objek cakerawala lain.

**media[3628291]**

"Selain tarikan teleskop terbesar di negara ini, pameran batu meteorit sebenar yang diperoleh dari luar negara juga antara yang menarik perhatian pengunjung.

"Kalau datang secara berkumpulan, kita akan buat sesi taklimat supaya pengunjung mendapat penerangan sepanjang perjalanan, sekali gus menjadikan sesi lawatan mereka lebih terisi," katanya.

Muzamir berkata, sejak dibuka semula pada September tahun lalu selepas dinaik taraf, ia mendapat sambutan menggalakkan termasuk daripada pelancong luar negara.

Ujarnya, rata-rata pengunjung memberikan maklum balas positif kerana berpeluang melihat keindahan cakerawala dengan lebih dekat.

"Ini salah satu bentuk pelancongan pendidikan atau astro-pelancongan yang ada di Negeri Sembilan.

**media[3628292]**

"Jadi, yang datang melancong ke Negeri Sembilan, jangan lupa jadikan Balai Cerap Negeri Sembilan ini sebagai destinasi wajib untuk singgah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sempena cuti sekolah tidak lama lagi, lokasi tersebut akan dibuka setiap hari sehingga malam.

Justeru, kata Muzamir, pengunjung dinasihatkan membuat pembelian tiket sebelum tarikh lawatan bagi mengelakkan terlepas peluang kerana jumlah kemasukan bagi setiap sesi adalah terhad bagi memastikan keselesaan pengunjung.

"Harga tiket bagi pengunjung berusia 13 hingga 59 tahun ialah RM15 (warganegara) dan RM25 (bukan warganegara), manakala yang berusia 60 tahun ke atas ialah RM7 (warganegara) dan RM20 (bukan warganegara) begitu juga kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun.

"Kami tidak menyediakan kemudahan lif di sini untuk mengelakkan gangguan pada sistem teleskop," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved