
SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Ogos depan untuk keputusan kes saman pemula yang difailkan Kerajaan Negeri Sembilan bagi mendapatkan perintah pengosongan serta-merta terhadap Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Undang Sungei Ujong.
Hakim Roz Mawar Rozain sebelum itu mendengar hujahan daripada pihak pemohon, Kerajaan Negeri Sembilan yang diwakili peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff.
Roz Mawar berkata, keputusan kes saman pemula itu akan dibuat secara dalam talian menerusi Zoom pada pukul 4 petang.
Pihak responden terdiri daripada Abdul Rahim Yasin dan Datuk Mubarak Dohak yang didakwa sudah dilucutkan daripada kedudukan sebagai Undang Luak Rembau dan Undang Luak Sungei Ujong.
Turut dinamakan sebagai responden ialah semua penghuni atau individu yang menduduki Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Undang Sungei Ujong.
Muhammad Hariz dalam hujahannya berkata, kerajaan negeri tidak mendapat akses terhadap empat premis berkenaan selama hampir 50 hari sejak notis pengosongan masing-masing pada 29 April pada 29 Jun lalu hingga hari ini (18 Ogos 2026), malah pihak responden masih mendiami balai dan kediaman rasmi itu.
Jelas beliau, kerajaan Negeri Sembilan adalah pemilik dan pihak berkuasa yang sah ke atas premis-premis tersebut yang telah digazetkan sebagai tanah-tanah rizab awam di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.
“Responden pertama (Abdul Rahim) menduduki premis-premis tersebut semata-mata atas dasar kebenaran atau lesen yang diberikan berdasarkan kapasitinya dipercayai sebagai Undang Luak Rembau sebelum ini, tiada hubungan penyewaan pernah wujud antara pemihon dan responden,” katanya pada prosiding pendengaran hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Keputusan perintah kosongkan Balai Undang Rembau, Sungei Ujong 24 Ogos depan appeared first on Kosmo Digital.






