
KLUANG – Ketika ramai anak muda mengimpikan pekerjaan selesa di dalam pejabat berhawa dingin, Joni Muhamat Yahya pula nekad menjadikan bidang pertanian sebagai sumber rezekinya sejak hampir tiga dekad lalu.
Bermula dengan mengusahakan kebun sawit secara pajakan sebaik sahaja tamat persekolahan, dia kini akhirnya berjaya mengusahakan tanaman pisang dan keledek madu di atas tanah seluas 40.46 hektar di Tapak Pertanian Modern, di sini.
Bagi Joni Muhamat, 45, bidang pertanian bukan sekadar pekerjaan untuk mencari pendapatan, sebaliknya memerlukan kesabaran, ilmu dan keberanian.
“Bukan mudah untuk sampai ke tahap sekarang kerana setiap tanaman mempunyai cabaran tersendiri. Kita perlu banyak belajar dan bersedia menghadapi risiko,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.
Menurutnya, peluang mengusahakan tanah milik Projek Tapak Pertanian Modern menjadi titik penting dalam mengembangkan perusahaan tanaman pisangnya sehingga merangkumi kawasan seluas kira-kira 40.46 hektar.
Pada peringkat awal, Joni Muhamat memberi tumpuan kepada tanaman pisang tanduk dan berangan, namun tempoh menunggu hasil agak lama.
Dia mendapati keledek madu atau Japan Sweet Potato berpotensi dijadikan tanaman selingan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah, sebelum mula mengusahakannya secara lebih serius awal tahun ini.
“Ketika ini, kira-kira 10.11 hektar daripada keseluruhan kawasan yang diusahakan saya ditanam dengan keledek madu, manakala keluasan itu dirancang untuk ditingkatkan kepada 20.23 hektar dalam masa terdekat,” katanya.
The post Joni pilih tanah, bukan kerusi pejabat appeared first on Kosmo Online.
