
Tuaran: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai menerima sambutan positif daripada peniaga dan pengunjung pasar ketika menjalankan kempen Pilihan Raya Utama Ke-15 (PRU15) di Pekan Tamparuli di sini, Rabu.
Orang awam dari semua peringkat umur memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk berbincang dengan Joniston yang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Beliau berkata, mereka (pengunjung dan peniaga) juga berkongsi masalah dihadapi di kampung masing-masing dan mengulas aspirasi.
“Kunjungan berjalan kaki ini membolehkan saya berhubung dengan masyarakat dan lebih memahami masalah yang dihadapi peniaga, yang kebanyakannya berdepan masalah kekurangan punca pendapatan.
“Saya sedia memberi komitmen untuk memperjuangkan mereka dan melaksanakan aspirasi mereka. Saya harap rakyat memberi peluang kepada saya untuk menjadi wakil rakyat mereka,” katanya kepada pemberita pada program Walkabout Tamu Tamparuli.
Pada PRU15 ini, Joniston bersedia untuk merampas kerusi Parlimen Tuaran daripada penyandangnya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Pakatan Harapan-Upko).
Beliau juga akan menentang Jo-Anna Sue Henley Rampas (Warisan), Muminin Kalingkong @Norbinsha (Parti Pejuang Tanah Air), Bobby Lewat (Bebas), dan Datuk Noortaip Suhaili (Bebas).
Ketika ditanya mengenai peluangnya untuk memenangi dan meraih undi daripada generasi muda, Joniston percaya pengundi Tuaran sedang mencari perubahan dan cenderung kepada parti tempatan.
“Saya mewakili parti gabungan tempatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan watikah saya (surat pelantikan calon) ditandatangani oleh Datuk Seri Hajiji Noor.
“Sebagai sebuah parti politik tempatan, GRS sudah mahir menghadapi cabaran yang perlu ditempuhi.
“Untuk mengatakan saya bimbang (mengenai pengundi muda) adalah satu kenyataan yang meremehkan. Saya sedar pendirian mereka, dan mereka seperti kebanyakan pengundi yang lebih tua, iaitu mahukan kemajuan. Kedua-dua golongan muda dan tua berkongsi aspirasi yang sama,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat mahukan pemimpin yang mempunyai hala tuju yang jelas.
“Kami mahu melihat anak muda kita berjaya, jadi saya mengiktiraf nilai penglibatan belia dan mendesak mereka sebelum ini untuk mengambil peranan kepimpinan di peringkat komuniti,” jelasnya.
Ketika kempen diadakan, Joniston dilihat turut terserempak Madius, yang juga menjalankan kempen di lokasi sama.
Kedua-duanya dilihat berjabat tangan dan berbalas kata mesra. Selain itu, penyokong GRS dan Pakatan Harapan turut bertegur sapa.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

