
KUALA LUMPUR: Pakej bantuan menyeluruh kira-kira RM400,000 yang bakal diterima ratu 400 meter (m) Asia Tenggara, Shereen Samson Vallabouy (gambar) bagi meneruskan program latihan di Amerika Syarikat amat melegakan ibu bapanya.
Ibu Shereen, Josephine Mary Singarayar menyifatkan pakej bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu tepat pada masanya selepas berdepan dengan pelbagai rintangan dan cabaran terutama impak pandemik Covid-19 yang menjejaskan kewangan keluarga mereka.
Josephine, yang juga bekas atlet olahraga kebangsaan berkata beliau akan memastikan Shereen yang merangkul pingat emas 400m Sukan SEA 2023 baru-baru ini bekerja keras untuk mencapai impian melakar kejayaan membanggakan di persada antarabangsa.
“Kami amat bangga dan berterima kasih kepada KBS, MSN (Majlis Sukan Negara) dan MAF (Persekutuan Olahraga Malaysia) atas segala sumbangan dan saya pasti akan memastikan dia (Shereen) bekerja keras dan semoga kita dapat lihat kejayaan besar daripada dia.
“Dia (Shereen) mahu naik ke podium Sukan Asia, mahu beraksi di final Sukan Olimpik serta mahu layak berdasarkan merit, bukan ‘wild card’ atau sebagainya, itu matlamat utamanya,” katanya yang ditemui selepas sidang media pengumuman pakej bantuan berkenaan di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Terdahulu, KBS hari ini bersetuju untuk memberi pakej bantuan menyeluruh kira-kira RM400,000 kepada Shereen untuk meneruskan program latihannya di Amerika Syarikat selepas tamat pengajian di Universiti Winona State di Minnesota bulan ini.
Menterinya Hannah Yeoh berkata pakej bantuan itu akan bermula pada 1 Jun tahun ini hingga Julai 2024 yang akan membolehkan Shereen menjalani latihan di Lifespeed Athletics Florida di bawah kendalian jurulatih Derrick White.
Sementara itu, bapa Shereen, Samson Vallabouy berkata Covid-19 yang menjejaskan perniagaannya hampir merencat pengembangan Shereen di Amerika Syarikat sejak berhijrah ke negara ‘Uncle Sam’ itu pada 2019.
“Kami menanggung sepenuhnya perbelanjaan Shereen, namun sejak lebih setahun lepas, perniagaan saya terjejas kerana pandemik. Saya biasanya mengirim RM10,000 sebulan untuk pelbagai kos perbelanjaan di sana namun saya tidak mampu bertahan.
“Ketika itulah Better Malaysia Foundation (BMF) tampil, saya berterima kasih kepada Tan Sri Vincent Tan (pengasas BMF) atas bantuan,“ katanya yang juga bekas atlet olahraga kebangsaan.
Pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini, Shereen menepati ramalan merangkul emas dengan catatan masa 52.53 saat (s), kira-kira sebulan selepas meleburkan rekod kebangsaan berusia 30 tahun dengan kepantasan 51.08s pada Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63 di California.
Rekod kebangsaan 400m wanita sebelum ini menjadi milik Allahyarham Rabia Abdul Salam yang mencatat 52.56s ketika melakukannya di Filipina pada 1993. -Bernama
