JP Morgan Ramal Malaysia & China Tidak Terjejas Jika Asia Berdepan Kejutan Tenaga Global

LocalBusiness & Finance
29 Mar 2026 • 11:09 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

JP Morgan Ramal Malaysia & China Tidak Terjejas Jika Asia Berdepan Kejutan Tenaga Global

Kebanyakan ekonomi di Asia dilihat berdepan risiko tinggi sekiranya berlaku kejutan dalam sektor tenaga global, menurut analisis oleh JP Morgan.

Menerusi perbincangan antara Rajiv Batra dengan CNBC, penganalisis menyatakan hanya beberapa negara sahaja yang mampu bertahan dengan lebih baik, termasuk China dan Malaysia.

Difahamkan, ia berikutan struktur tenaga dan ekonomi yang lebih kukuh berbanding negara lain di rantau ini.

Kejutan tenaga merujuk kepada peningkatan mendadak harga minyak dan gas atau gangguan bekalan yang sering berpunca daripada ketidaktentuan geopolitik.

Situasi ini boleh memberi kesan besar kepada ekonomi global, khususnya negara yang bergantung kepada import tenaga.

Menurut JP Morgan, kebanyakan negara Asia merupakan pengimport bersih tenaga dan amat bergantung kepada bekalan dari luar.

Keadaan ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada kenaikan harga global, sekali gus memberi tekanan kepada inflasi dan pertumbuhan ekonomi.

Defisit fiskal di Malaysia berada pada tahap terkawal

Apabila kos tenaga meningkat, negara-negara ini berdepan risiko peningkatan defisit akaun semasa, kejatuhan nilai mata wang serta tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.

Sebaliknya, China dan Malaysia dilihat berada dalam kedudukan lebih stabil.

"Dalam persekitaran semasa di Asia, selain China dan Malaysia, beberapa ekonomi lain dilihat lebih berisiko

"Malaysia mempunyai beberapa penampan yang kukuh, termasuk kedudukannya sebagai pengeksport bersih tenaga

"Selain itu, defisit fiskal negara berada pada tahap terkawal hasil dasar kerajaan yang berdisiplin, manakala kadar inflasi juga kekal tidak terlalu tinggi

"Keadaan ini menyediakan ruang perlindungan yang bukan sahaja menyokong pasaran ekuiti sebagai kelas aset, malah turut membantu menstabilkan nilai mata wang negara," ujarnya.

Malaysia miliki 'kelebihan' tersendiri

China mempunyai kawalan kerajaan yang lebih ketat terhadap sektor tenaga serta sumber domestik yang mencukupi, termasuk penggunaan arang batu dan tenaga alternatif.

Menurut JP Morgan lagi, Malaysia pula mendapat kelebihan sebagai salah satu pengeluar minyak dan gas di rantau ini.

Kedudukan tersebut membantu mengurangkan kebergantungan kepada import tenaga, sekali gus memberikan perlindungan semula jadi terhadap turun naik harga global.

Penganalisis berkenaan turut menekankan ketidaktentuan geopolitik global dan peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui akan terus mempengaruhi pasaran tenaga dalam jangka panjang.

Secara keseluruhan, dapatan itu menunjukkan walaupun Asia merupakan antara enjin pertumbuhan ekonomi dunia, tahap ketahanan setiap negara terhadap krisis tenaga adalah berbeza.

Oleh itu, Malaysia dan China dilihat mempunyai kelebihan yang membolehkan mereka mengharungi cabaran tersebut dengan lebih baik berbanding negara lain di rantau ini.

Baca juga: