JPA nafi keluar arahan wajibkan pejawat awam miliki BMI seimbang

LocalPolitics
18 Dec 2024 • 4:42 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mewajibkan semua pegawai awam untuk memiliki indeks jisim badan (BMI) yang seimbang.

JPA menafikan kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Hospital Miri, Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Jack Wong Siew Yu pada 7 Dis lepas berkaitan “JPA Wajibkan Semua Penjawat Awam Miliki BMI Sihat Mulai Tahun Depan”.

“JPA menggalakkan semua pegawai awam untuk melaksanakan saringan kesihatan kendiri termasuk mengambil ukuran berat badan dan tinggi bagi melihat status BMI dan diisytiharkan dalam sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS),“ menurut kenyataan JPA, di sini hari ini.

Menurut JPA, inisiatif ini selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Awam (MyPPSM) Ceraian S.R 2.5.1 mengenai Perisytiharan Rekod Kesihatan bagi Membudayakan Gaya Hidup Sihat yang dikeluarkan pada 6 Sept 2022.

“JPA tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan atau arahan untuk mewajibkan semua pegawai awam memiliki BMI yang seimbang,“ menurut kenyataan itu.

Namun, JPA kekal komited untuk bekerjasama dengan KKM dalam usaha menangani isu obesiti dalam kalangan pegawai awam dan menyokong langkah-langkah dalam meningkatkan kesihatan awam secara keseluruhannya.

JPA juga menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang melibatkan mereka, perlu mendapatkan kebenaran rasmi, selain turut meminta agar jabatan itu tidak dijadikan rujukan tanpa pengesahan fakta.