JPJ catat kutipan RM91.21 juta hasil bidaan nombor pendaftaran siri H

LocalBusiness & Finance
21 Sep 2026 • 6:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: JPJ catat kutipan RM91.21 juta hasil bidaan nombor pendaftaran siri H
Anthony. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan RM91.21 juta menerusi bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri 'H' sempena sambutan Hari Malaysia 2026.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, jumlah itu merangkumi RM89.27 juta hasil bidaan dan RM1.94 juta fi perkhidmatan menerusi sistem JPJeBid yang dilaksanakan dari 16 September hingga semalam.

"Secara keseluruhan, sebanyak 34,664 pembida mengambil bahagian dengan 8,223 nombor pendaftaran dibida, sekali gus memperlihatkan sambutan amat menggalakkan terhadap NPI Siri ‘H’," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, H 1 mencatat bidaan tertinggi dengan RM10.78 juta, diikuti H 9 (RM4.97 juta), H 3 (RM4.21 juta), H 5 (RM4.01 juta), H 8 (RM4 juta) dan H 6 (RM3.38 juta).

Anthony berkata, H 1001 dan H 100 masing-masing merekodkan penyertaan tertinggi iaitu 37 pembida, diikuti H 1805 dengan 36 pembida serta H 1777 dan H 4818, masing-masing 32 pembida.

"NPI Siri ‘H’ bukan sekadar mencerminkan sambutan tinggi terhadap nombor pendaftaran istimewa, malah bukti kejayaan transformasi digital kerajaan menerusi platform JPJeBid yang menjadikan proses bidaan lebih mudah, pantas, cekap dan telus.

"Lebih signifikan, setiap hasil yang dijana melalui inisiatif ini akan kembali memberi manfaat kepada masyarakat menerusi pelbagai program dilaksanakan Kementerian Pengangkutan (MOT) serta JPJ termasuk program keselamatan jalan raya," katanya.

Anthony turut menzahirkan penghargaan kepada warga JPJ atas komitmen dalam memastikan proses bidaan NPI berkenaan dilaksanakan dengan lancar.

"MOT dan JPJ merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembida serta rakyat Malaysia atas sambutan luar biasa terhadap NPI Siri ‘H’. 

"Kerajaan akan terus memperhebat agenda pendigitalan perkhidmatan dan memperkenalkan inisiatif berimpak tinggi yang bukan sahaja memperkukuh kecekapan penyampaian, malah memastikan hasil negara diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat," katanya. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved