
PETALING JAYA – Bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri H mencatat sejarah apabila memecahkan rekod kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi satu siri nombor pendaftaran dengan jumlah keseluruhan RM91.2 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, nombor pendaftaran H1 sahaja berjaya mencatatkan hasil sebanyak RM10.7 juta.
Menurutnya, separuh daripada keseluruhan hasil bidaan tersebut akan disalurkan ke Akaun Hasil Disatukan Kerajaan Persekutuan manakala baki akan digunakan untuk membiayai inisiatif Kementerian Pengangkutan yang berorientasikan rakyat.
“Apa boleh buat dengan RM91 juta? Bukan untuk bantu ‘balik rumah’. Separuh daripada hasil ini akan masuk Akaun Hasil Disatukan untuk Kerajaan Persekutuan.
“Separuh lagi untuk membiayai inisiatif MOT yang berorientasikan rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Anthony berkata, hasil lumayan daripada bidaan berkenaan turut akan dimanfaatkan untuk membantu golongan pemandu teksi dan kereta sewa di seluruh negara.
Menurut beliau, kementeriannya akan mengumumkan berita baik khusus untuk pemandu teksi pada minggu depan.
“H ini asalnya nombor pendaftaran untuk teksi. Maka, dengan hasil yang lumayan ini, MOT akan gunakan wang ini untuk bantu pemandu teksi dan kereta sewa dari seluruh Negara. Akan ada berita baik untuk pemandu teksi minggu depan,” ujarnya.
Terdahulu, bidaan NPI siri H dibuka menerusi sistem JPJeBid dari 16 hingga 20 September dengan menawarkan nombor H1 hingga H9999.
Siri berkenaan turut diperkenalkan bersempena sambutan Hari Malaysia dan merupakan siri awalan satu huruf terakhir yang ditawarkan JPJ. – KOSMO! ONLINE
The post Siri H pecah rekod, raih RM91.2 juta appeared first on Kosmo Online.






