
BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengambil tindakan terhadap sembilan kenderaan barangan khususnya lori kerana membawa muatan melebihi had yang dibenarkan dalam operasi di sekitar kawasan tanah besar, Selasa lepas.
JPJ Pulau Pinang dalam kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan menerusi “Ops Lebih Muatan” yang dijalankan bermula 11 malam dan tamat lapan jam kemudian itu, lebih 100 kenderaan barangan diperiksa.
“Tumpuan utama operasi adalah di laluan utama seperti di Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), jalan Persekutuan dan negeri serta kawasan perindustrian di bahagian seberang, di sini.
“Dalam operasi itu, pihak JPJ Pulau Pinang telah mengambil tindakan terhadap sembilan kenderaan di bawah seksyen 57(1) (b) (iv) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan kesalahan di bawah Kaedah 89 MV (C&U) 1959,“ menurut kenyataan itu.
Menurutnya penguatkuasaan itu diadakan bertujuan memastikan pemandu dan pengusaha kenderaan barangan atau perdagangan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
JPJ Pulau Pinang turut memaklumkan pihaknya mengambil tindakan terhadap kenderaan barangan termasuk di bawah peraturan yang telah dikuatkuasakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat APAD 2010.
Penguatkuasaan secara konsisten dan berfokus terhadap kenderaan barangan yang tidak patuh pada peraturan dan undang-undang terutama membawa muatan melebihi had dibenarkan akan terus dilaksanakan secara telus dan berterusan. -Bernama

