Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini memaklumkan telah melaksanakan operasi melibatkan penyedia perkhidmatan seru-pandu, dan mendapati salah satu aplikasi tempahan, iaitu MAXIM mempunyai sejumlah besar kenderaan dibawah kendalian syarikat tersebut yang beroperasi tanpa permit kenderaan eHailing yang sah.
Menurut JPJ, daripada 5000 buah kenderaan aktif yang menggunakan Maxim, hanya 402 kenderaan sahaja yang mempunyai permit sah. Ini sekaligus membuatkan lebih 4000 kenderaan yang beroperasi tanpa permit sah.
JPJ menyatakan syarikat MAXIM telah melanggar akta yang telah disediakan, membuatkan kenderaan berkenaan beroperasi tanpa permit sah di Putrajaya dan Pahang.
JPJ turut menekankan, syarikat yang beroperasi dengan membenarkan kenderaan seru-pandu tanpa permit sah dibawah mereka, boleh disabitkan kesalahan yang membawa denda tidak kurang RM1000 dan tidak lebih RM500,000, atau penjara tidak melebihi 2 tahun.
JPJ mengambil berat perkara ini, kerana kenderaan yang mempunyai permit melindungi para penumpang dengan jaminan perlindungan insurans ketika menggunakan perkhidmatan seru-pandu, sekiranya berlaku apa-apa kemalangan jalan raya.

