JPJ siasat dakwaan pindah milik nombor plat tanpa kebenaran

LocalPolitics
17 Apr 2026 • 12:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: JPJ siasat dakwaan pindah milik nombor plat tanpa kebenaran
Aedy Fadly

GEORGE TOWN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan menerima beberapa aduan berkaitan dakwaan pemindahan hak milik nombor pendaftaran kenderaan unik tanpa pengetahuan pemilik asal dan akan menjalankan siasatan terperinci sebelum sebarang tindakan diambil.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, setiap dakwaan yang diterima akan disiasat mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan kesahihan aduan tersebut.

“Memang ada beberapa aduan yang diterima berkaitan pertukaran hak milik tanpa kebenaran pemilik asal.

“Kita dari semasa ke semasa akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan prosedur dan perundangan semasa,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Peluncuran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) di sini pada Jumaat.

Menurutnya, JPJ komited membantu pemilik yang terlibat, namun tindakan lanjut bergantung kepada hasil siasatan serta proses pertukaran hak milik yang berlaku.

“Kita akan bantu tetapi ia bergantung kepada tatacara pertukaran hak milik itu sendiri.

“Siasatan perlu dibuat terlebih dahulu dan kita perlu mengenal pasti peruntukan undang-undang yang boleh digunakan.

“Ada kemungkinan dakwaan itu tidak tepat, contohnya pemilik merasakan nombor tersebut miliknya sedangkan ia telah ditukar hak milik secara sah sebelum ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Aedy berkata, isu tersebut bukan semata-mata berpunca daripada kecurian maklumat, sebaliknya melibatkan pelbagai faktor termasuk proses dan prosedur pertukaran hak milik.

“Kita perlu menyemak sama ada proses pertukaran itu berlaku secara sah atau sebaliknya.

“JPJ tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan seperti mengembalikan nombor kepada pemilik asal tanpa siasatan terperinci.

“Mungkin pertukaran itu sah, tetapi terdapat isu lain yang timbul yang kita tidak ketahui. Jadi, siasatan menyeluruh perlu dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan pihak dalaman dalam kes tertentu, namun menegaskan siasatan rapi perlu dilakukan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

“Saya tidak menafikan kemungkinan itu tetapi kita tidak boleh membuat kesimpulan awal.

“Siasatan perlu dijalankan secara kes demi kes,” ujarnya.

Terdahulu, seorang ahli perniagaan perkhidmatan kereta sewa mendakwa nombor pendaftaran Toyota Alphard milik syarikatnya dipindahkan hak milik tanpa kebenaran selepas disewakan kepada ejen kereta sewa pada Januari lalu.

Kenderaan berkenaan memiliki nombor pendaftaran popular dan unik iaitu P111 dan ia didakwa dibawa ke sebuah bilik pameran kereta terpakai di Puchong, Selangor tanpa pengetahuannya.

Lelaki itu berkata, ia merupakan urusan pertama dengan lelaki berkenaan dan pekerjanya menyerahkan kenderaan itu kepada individu terbabit di Kuala Lumpur pada jam 8 malam, 13 Januari lalu.

Katanya, tempoh sewaan adalah selama sebulan dengan kadar RM12,000 sebulan sebelum lelaki itu didakwa mahu melanjutkan tempoh sewaan.