Tawaran nombor pendaftaran khas ‘P-P’ sempena ulang tahun ke-80 JPJ

LocalSales & Promo
17 Apr 2026 • 1:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tawaran nombor pendaftaran khas ‘P-P’ sempena ulang tahun ke-80 JPJ
Aedy (tengah) menunjukkan nombor pendaftaran istimewa siri eksklusif P-P pada sidang akhbar pada Jumaat.

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan nombor pendaftaran istimewa siri ‘P-P’ sempena sambutan ulang tahun ke-80 penubuhannya yang akan dibuka untuk bidaan awam bermula 20 hingga 24 April ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, siri eksklusif itu diperkenalkan sebagai simbolik memperingati lapan dekad peranan dan sumbangan JPJ dalam pembangunan sistem pengangkutan negara.

Menurutnya, pengenalan siri khas tersebut turut mencerminkan identiti, legasi serta evolusi JPJ sebagai agensi peneraju dalam pengurusan, penguatkuasaan dan pengangkutan jalan raya di Malaysia.

“Orang ramai boleh membida nombor pendaftaran siri ‘P-P’ ini melalui kaedah bidaan dalam talian menerusi sistem JPJ eBid yang memastikan proses lebih telus, teratur dan efisien.

“Tempoh bidaan dibuka selama lima hari bermula Isnin, 20 April dan ditutup pada Jumaat, 24 April jam 10 malam.

"Sementara keputusan bidaan akan diumumkan dalam tempoh 24 jam iaitu pada 25 April 2026,” katanya pada sidang akhbar di Majlis Peluncuran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, harga bidaan adalah mengikut kategori yang telah ditetapkan seperti pelaksanaan Sistem JPJeBid sebelum ini dan tertakluk kepada terma serta syarat sedia ada.

"Harga bidaan bermula dari RM20,000 bagi nombor emas, nombor premium (RM5,000), nombor menarik (RM2,500), nombor popular (RM500) dan nombor biasa (RM300).

"Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh surat keputusan rasmi dikeluarkan," ujarnya.

Mengulas lanjut, pemilihan siri ‘P-P’ adalah signifikan kerana ia sinonim dengan lokasi penganjuran Karnival Mega JPJ Madani di Pulau Pinang selain melambangkan peranan jabatan dalam aspek pengangkutan dan penguatkuasaan.

“Huruf ‘P’ merujuk kepada Pulau Pinang manakala gabungan ‘P-P’ juga membawa maksud kepada fungsi JPJ dalam pengangkutan dan penguatkuasaan,” jelasnya.

Sementara itu, bersempena sambutan ulang tahun ke-80 tersebut, JPJ turut menganjurkan Karnival Mega JPJ Madani yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 April di Stadium Batu Kawan, Seberang Perai Selatan.

Katanya, hampir 50,000 nombor pendaftaran akan ditawarkan dengan diskaun 50 peratus kepada orang ramai pada 26 April di lokasi berkenaan.

“Antara yang ditawarkan termasuk nombor kategori menarik serendah RM250.

"Nombor-nombor ini merupakan baki yang tidak dibida sebelum ini dan hanya boleh dibeli secara fizikal di karnival berkenaan.

"Sehubungan itu, orang ramai dijemput menyertai bidaan nombor pendaftaran istimewa siri ‘P-P’ serta hadir ke Karnival Mega JPJ Madani bagi mendapatkan tawaran nombor pada harga istimewa," katanya.

Tambah beliau, senarai penuh nombor yang ditawarkan akan diumumkan pada petang Jumaat.

Dalam pada itu, Aedy turut memberi jaminan bahawa isu gangguan atau ‘lagging’ dalam Sistem JPJeBid yang pernah dibangkitkan sebelum ini telah berjaya diatasi selepas penambahbaikan dilakukan.

“Setakat ini, kita tidak lagi menerima banyak aduan berkaitan gangguan sistem semasa proses bidaan berlangsung," ujarnya.