JPJ siasat video tular pemandu bas ekspres riba wanita sambil memandu

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 11:52 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

JPJ menyiasat video tular pemandu bas ekspres didakwa berkelakuan melampau di lebuh raya

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menjalankan siasatan terhadap satu video tular yang memaparkan tindakan seorang pemandu bas ekspres yang didakwa memandu sambil meriba seorang wanita ketika kenderaan sedang bergerak di lebuh raya.

Dalam rakaman berkenaan, wanita tersebut dilihat duduk di atas riba pemandu sambil turut memegang stereng bas. Kejadian itu mencetuskan kebimbangan orang ramai kerana berlaku ketika bas sedang dalam pergerakan.

Difahamkan juga, tindakan seorang penumpang yang menegur perbuatan tersebut dikatakan telah mengundang ketidakpuasan hati wanita berkenaan.

Selain itu, satu lagi video berasingan yang dipercayai dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain turut tular, memaparkan bas berkenaan dipandu secara berbahaya dengan aksi memotong dan menyelit di celah kenderaan lain di lebuh raya.

Berdasarkan maklumat awal yang dikongsikan di media sosial, bas ekspres terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Kulai ketika insiden berlaku.

Baca juga:

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera sebaik menerima maklumat berhubung video berkenaan yang tular secara meluas di media sosial.

Menurut beliau, siasatan telah dimulakan dan pemandu serta syarikat bas yang terlibat sudah dikenal pasti. Pemandu berkenaan juga telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Kes ini akan dirujuk kepada Ketua Pengarah JPJ selepas siasatan lengkap bagi tindakan dan arahan selanjutnya,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan insiden itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana pejabat JPJ berhampiran.

Dalam pada itu, JPJ menegaskan semua pemandu, khususnya pengendali kenderaan komersial, perlu mematuhi undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan mengelakkan kejadian tidak diingini.

Sumber: Harian Metro, Community Roda Johor

The post JPJ siasat video tular pemandu bas ekspres riba wanita sambil memandu appeared first on The Reporter.

View Original Article