JPJ sita Proton Saga dipandu lelaki Rohingya

LocalCars
6 Jun 2026 • 2:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: JPJ sita Proton Saga dipandu lelaki Rohingya
Seorang lelaki Rohingya dikesan memandu tanpa lesen yang sah dalam satu operasi penguatkuasaan di Jalan Taman Kempas pada Khamis. Foto JPJ Kedah

SUNGAI PETANI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki warga Myanmar berketurunan Rohingya selepas didapati memandu tanpa lesen yang sah dalam satu operasi penguatkuasaan di Jalan Taman Kempas di sini pada Khamis.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, lelaki berusia 34 tahun itu gagal mengemukakan lesen memandu ketika pemeriksaan dijalankan pada jam 8.30 malam.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa atas kesalahan memandu tanpa lesen di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil siasatan mendapati lelaki tersebut merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan ketika ditahan sedang memandu sebuah Proton Saga dari Padang Temusu selepas selesai bekerja sebagai tukang rumah.

“Siasatan lanjut turut mendapati kenderaan berkenaan adalah milik seorang warganegara tempatan,” katanya pada Sabtu.

Beliau berkata, susulan kesalahan yang dikesan, kenderaan terbabit telah disita dan dibawa ke Depoh Simpanan Kenderaan JPJ Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Stien berkata, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan jalan raya termasuk memandu tanpa lesen yang sah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan memiliki lesen memandu dan dokumen kenderaan yang sah sebelum menggunakan jalan raya.