
KULAI: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengeluarkan sebanyak 275,785 MyKad Generasi Baharu sejak pelancarannya pada 17 September lalu hingga 20 Oktober lepas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Johor merekodkan jumlah pengeluaran tertinggi sebanyak 31,392 keping, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 29,601 keping.
Sementara itu katanya, Selangor mereka sebanyak 26,736 keping, diikuti Sarawak (25,642 keping) dan Sabah (22,523 keping).
“Jumlah ini menunjukkan kad pengenalan MyKad Generasi Baharu mendapat sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat. Kad ini dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada. Antara ciri keselamatan baharu ialah kod QR, ultraungu dan juga hologram.
“Selepas 12 tahun, ciri-ciri keselamatan pada MyKad lama mungkin tidak lagi mencukupi. Sebab itu JPN ambil langkah mengemas kini ciri-ciri keselamatan melalui MyKad Generasi Baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kampung Angkat Madani di Kampung Melayu Sedenak, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.
Tambah Saifuddin Nasution, JPN akan beri komitmen untuk menampung permintaan masyarakat seluruh negara bagi mendapat MyKad Generasi Baharu.
“Sehubungan itu, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa untuk menukar kad pengenalan masing-masing. Setakat ini kira-kira 24 juta MyKad berada dalam edaran di seluruh negara,” katanya.-UTUSAN
The post JPN edar 275,785 MyKad Generasi Baharu sejak lancar appeared first on Utusan Malaysia.




