
KULAI – Sebanyak 275,785 MyKad Generasi Baharu dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tempoh 17 September hingga 20 Oktober lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Johor merekodkan jumlah pengeluaran tertinggi sebanyak 31,392 keping.
Katanya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berada di tempat kedua dengan 29,601 keping, diikuti Selangor sebanyak 26,736 keping.
“Jumlah ini menunjukkan sambutan yang baik daripada masyarakat terhadap pengenalan MyKad Generasi Baharu.
“Kad pengenalan itu dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada. Antara ciri keselamatan baharu ialah kod QR, ultraungu dan hologram.
“Selepas 12 tahun, ciri keselamatan kad lama mungkin tidak lagi mencukupi. Sebab itu JPN mengambil langkah mengemas kini ciri keselamatan melalui MyKad Generasi Baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis merasmikan sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) ke-78 serta peluncuran Kampung Angkat Madani (KAM) dan Sekolah Angkat Madani (SAM) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2026 di Kampung Melayu Sedenak, di sini hari ini.
Saifuddin berkata, pihaknya memberi jaminan JPN mampu menampung permintaan orang ramai untuk mendapatkan MyKad Generasi Baharu.
Justeru, orang ramai tidak perlu tergesa-gesa menukar kad pengenalan masing-masing.
Katanya, ketika ini kira-kira 24 juta MyKad berada dalam edaran di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE
The post 275,785 MyKad Generasi Baharu dikeluarkan appeared first on Kosmo Online.





