
PETALING JAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mahu mempromosikan wajah MyKad Generasi Baharu, namun individu yang menjadi ‘model’ pada kad pengenalan itu pula mencuri perhatian pengguna media sosial.
Nama Muhammad Asraf Sukadi menjadi sebutan selepas wajah dan namanya digunakan pada contoh MyKad Generasi Baharu yang diperkenalkan secara rasmi hari ini sempena sambutan Hari Malaysia.
Menerusi hantaran JPN di Threads, rata-rata pengguna bukan sahaja memberikan pandangan mengenai reka bentuk dan ciri keselamatan baharu MyKad, malah berseloroh mengenai identiti Asraf yang terpampang pada kad berkenaan.
“Apa lah amalan Asraf Sukadi. Satu Malaysia kenal,” seloroh pengguna Threads, @affandyyy.
“Sekarang ni Muhammad Asraf Bin Sukadi ni wujud ke tak wujud? Muka pun ‘herlok’ (kacak) u alls,” seloroh @wallawaniey.
Berdasarkan perkongsian JPN, MyKad Generasi Baharu membawa pembaharuan dari aspek reka bentuk, struktur dan ciri keselamatan selepas lebih dua dekad penggunaan versi terdahulu.
Antara ciri yang diperkenalkan ialah cip Komunikasi Medan Dekat (NFC) yang membolehkan pembacaan secara sentuh dan tanpa sentuh, kod QR, cip pemprosesan lanjutan serta cip antara muka dwi fungsi.
Ia turut dilengkapi teks mikro, corak guilloche, transparent window, hologram keselamatan dinamik, lapisan polikarbonat dan ciri keselamatan ultraungu (UV).
Portal rasmi JPN turut menjelaskan struktur baharu itu dibangunkan antaranya bagi menangani risiko pemalsuan dan pengklonan serta meningkatkan ketahanan fizikal kad.
JPN memaklumkan pengeluaran MyKad Generasi Baharu bermula esok, 17 September, di 40 cawangan yang dilengkapi Pusat Cetakan Teragih di seluruh negara dengan kad boleh disiapkan pada hari sama.
Bagaimanapun, pemegang MyKad sedia ada tidak diwajibkan menukar kepada versi baharu semata-mata kerana pengenalannya dan kad lama yang masih dalam keadaan baik serta boleh digunakan kekal sah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berpusu-pusu menukar MyKad apabila pengeluaran versi baharu bermula kerana proses penggantian akan dilaksanakan secara berfasa. – KOSMO! ONLINE
The post JPN promo MyKad baharu, Asyraf Sukadi jadi popular appeared first on Kosmo Online.





