
Malaysia akhirnya memperkenalkan MyKad generasi baharu yang menampilkan reka bentuk fizikal diperbaharui, teknologi cip yang dinaik taraf, serta 53 ciri keselamatan fizikal bagi menyukarkan proses pemalsuan kad pengenalan rasmi negara ini.
MyKad baharu ini akan mula dikeluarkan secara berperingkat bermula 17 September 2026, dengan 40 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan UTC terpilih yang dilengkapi kemudahan cetakan bersedia mengeluarkan kad baharu tersebut pada hari yang sama.
Perubahan fizikal paling ketara pada MyKad generasi baharu ini dapat dilihat pada susun aturnya yang kini lebih menyerupai lesen memandu. Imej diletakkan di bahagian kiri, manakala nama dan nombor kad pengenalan berada di bahagian tengah. Kedudukan cip juga dialihkan ke bahagian belakang, memberikan rupa hadapan MyKad yang lebih kemas.
Namun, peningkatan utama MyKad generasi baharu ini sebenarnya terletak pada ciri keselamatannya.
MyKad baharu tampil dengan 53 ciri keselamatan

Menurut JPN, MyKad terbaharu ini menggunakan lapisan polikarbonat yang direka untuk memberikan ketahanan lebih baik terhadap haba dan bahan kimia, menjadikannya lebih kukuh dan tahan lama.
MyKad baharu ini turut menampilkan corak Guilloche, iaitu garisan keselamatan yang sangat halus bagi menjadikannya lebih sukar untuk dipaslukan. Selain itu, terdapat ciri keselamatan ultra ungu (UV) pada bahagian depan dan belakang MyKad. Corak tersembunyi ini hanya akan kelihatan apabila terdedah kepada sinaran ultraungu.
Satu lagi ciri keselamatan fizikal yang boleh dilihat ialah hologram keselamatan dinamik. Hologram ini menghasilkan kesan visual tiga dimensi (3D) yang berubah mengikut sudut pandangan dan keadaan pencahayaan.



Turut diperkenalkan ialah transparent window, sebuah imej lutsinar yang memperkukuh lagi perlindungan MyKad daripada pemalsuan. Selain itu, terdapat juga teks mikro, iaitu tulisan halus pada bahagian depan kad yang hanya boleh dilihat dengan jelas menggunakan kanta pembesar.
Di bahagian belakang pula, MyKad baharu ini dilengkapi kod QR bagi memudahkan urusan pengesahan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa. Kad generasi baharu ini turut menggunakan cip Antara Muka Dwi-Fungsi yang baharu, membolehkan pembacaan cip secara sentuhan (contact) mahupun tanpa sentuhan (contactless) melalui NFC.
Walau bagaimanapun, struktur 12 digit nombor kad pengenalan kekal tanpa sebarang perubahan, masih mengekalkan 6 digit tarikh lahir, diikuti 2 digit kod negeri dan 4 digit nombor unik penanda identiti.
Adakah MyKad baharu masih menyokong Touch ‘n Go?

Tidak. JPN telah mengesahkan bahawa MyKad generasi baharu ini tidak lagi menyokong fungsi Touch ‘n Go. Ini bermakna MyKad baharu tidak boleh digunakan lagi sebagai kad Touch ‘n Go bagi sebarang transaksi pembayaran, termasuk untuk pengangkutan awam.
Pengguna yang mahu terus menggunakan perkhidmatan Touch ‘n Go perlu beralih kepada kad Touch ‘n Go fizikal yang berasingan atau menggunakan aplikasi Touch ‘n Go eWallet bagi urusan pembayaran.
Bagi yang masih menggunakan MyKad sedia ada untuk pembayaran Touch ‘n Go, ambil perhatian bahawa fungsi ini hanya sah untuk tempoh 10 tahun. Anda boleh menyemak baki serta tempoh sah Touch ‘n Go pada MyKad dengan memautkan kad tersebut ke aplikasi TNG eWallet.
Jika anda menggantikan MyKad atau masih mempunyai baki dalam kad yang telah tamat tempoh, permohonan pemulangan baki boleh dilakukan menerusi Portal Rasmi TNG.
MyKad baharu mula ditawarkan 17 September

JPN menyatakan bahawa pengeluaran MyKad generasi baharu ini akan bermula secara berperingkat dari 17 September 2026 di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak serta Labuan.
Pada peringkat awal, 40 cawangan JPN dan UTC terpilih di seluruh negara yang dilengkapi kemudahan cetak kad akan mampu menghasilkan MyKad baharu pada hari yang sama. Bagi cawangan JPN yang tidak dilengkapi kemudahan pencetakan, proses pengeluaran MyKad baharu pula akan mengambil masa sekitar lima hari bekerja.
Adakah anda perlu menggantikan MyKad sedia ada?

Jawapannya tidak perlu. Jika MyKad sedia ada anda masih berada dalam keadaan baik, tiada keperluan untuk anda menukarkannya kepada kad generasi baharu ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihati rakyat Malaysia agar tidak tergesa-gesa berkunjung ke pejabat JPN apabila proses pengeluaran MyKad baharu ini bermula pada 17 September. Beliau mengesahkan bahawa kad pengenalan sedia ada kekal sah digunakan seperti biasa dan tidak akan menjejaskan kelayakan atau penerimaan baki subsidi kerajaan.
Menurut Menteri, terdapat kira-kira 24 juta MyKad yang sedang berada dalam edaran, manakala JPN biasanya mengeluarkan sekitar 180,000 hingga 200,000 kad setiap bulan.
Dalam kata lain, anda tidak perlu menggantikan MyKad yang masih elok hanya semata-mata untuk mendapatkan reka bentuk terbaharu. Versi kad baharu ini akan mula diedarkan secara berperingkat apabila orang ramai membuat permohonan MyKad kali pertama atau menggantikan kad sedia ada apabila perlu.





