
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Sejak beberapa hari lepas, tular insiden membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 10 tahun yang mengalami gegaran otak selepas didakwa menjadi mangsa buli di sebuah sekolah agama di Johor Bahru pada Februari lalu.
Insiden tersebut dipercayai berlaku kerana rasa tidak puas hati si pelaku kepada kakak mangsa kerana menolak cintanya.
Susulan itu Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mahu siasatan membabitkan kes terbabit disegerakan agar tindakan wajar boleh dilakukan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-Kanak Lelaki 10 Tahun Alami Gegaran Otak, Dipercayai Jadi Mangsa Buli Gara-Gara Kakak Tolak Cinta
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar 10 Tahun Alami Gegaran Otak Didakwa Dibuli: Fadhlina Mahu Siasatan Segera Dibuat
JPNJ beri jaminan akan selesaikan isu melibatkan pelajar tahun empat yang didakwa dibuli
Terbaharu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) turut memberikan jaminan bakal menyelesaikan isu membabitkan pelajar berkenaan.
Jelas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin pihaknya sedang memuktamadkan tindakan seterusnya termasuk libat urus bersama keluarga pelajar berkenaan serta pelaku.
“Semua dalam tindakan JPN Johor. Kami telah berbincang dan beberapa tindakan akan dibuat terhadap pelaku dan sebagainya, namun ia masih dalam proses dimuktamadkan.
“Kadangkala bukan murid saja yang perlukan kaunseling, keluarga juga diberi bimbingan agar sama-sama dapat mengatasi trauma akibat insiden ini,” jelasnya, lapor Harian Metro.
Kempen Khas Anti Buli Negeri Johor sebagai usaha agresif dalam tangani isu buli
Dalam pada itu, Aznan turut memaklumkan beliau juga mempengerusikan satu mesyuarat, Jawatankuasa Khas Anti Buli Negeri Johor di Iskandar Puteri, semalam (18 Ogos).
Mesyuarat terbabit turut dipengerusikan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa dan ia sebagai usaha agresif serta bersepadu dalam menangani isu buli yang semakin merisaukan.
Kempen berkenaan digerakkan bertujuan untuk:
- Memastikan sekolah menjadi tempat yang selamat
- Anak Johor dilindungi
- Ibu bapa lebih prihatin
- Budaya buli dapat dihapuskan
“Alhamdulillah tadi kita sudah berbincang bersama mengenai beberapa prosedur operasi standar (SOP) mengenai isu buli di Johor.
“Kita akan mengikut SOP sedia ada di peringkat KPM namun kita akan meningkatkan lagi kempen kesedaran latihan dan sebagainya kepada pelajar dan juga guru-guru serta ibu bapa mengenai salah laku buli.”
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan agar kerajaan segera melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh bagi menangani gejala tersebut sejak di peringkat sekolah rendah.
Baginda bertitah, sekiranya gejala buli tidak dibendung dari peringkat itu, ia berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.
Source:

