“Terima Kasih PMX” – Anwar Sokong Penganjuran RXZ Members 7.0, Salur Peruntukan Awal RM100,000

LocalPolitics
19 Aug 2025 • 10:29 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu


Buat peminat bidang permotoran, program RXZ Members bukanlah satu nama yang asing bagi mereka.

Manakan tidak, acara yang diadakan pada setiap tahun ini sering mendapat sambutan hangat ribuan peminatnya dari setiap pelosok negeri.

Bukan sahaja popular dan menjadi bualan ramai malah ia turut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam (18 Ogos), Anwar mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM100,000 akan disalurkan bagi penganjuran program RXZ Members 7.0 pada 23 Ogos ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu.

Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerajaan mengiktiraf sumbangan komuniti permotoran sebagai pemangkin semangat kebersamaan, pengukuh silaturahim dan penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi setempat menerusi penganjuran pelbagai aktiviti berimpak tinggi.

RXZ Members Zahir Ucapan Terima Kasih Terhadap PMX

Gembira dengan pengumuman itu, RXZ Members dalam hantaran terbaharu mereka di Facebook menzahirkan ucapan terima kasih kepada Anwar atas sokongan penuh yang diberikan terhadap penganjuran program berkenaan pada kali ini.

Jelas mereka, peruntukan yang diberikan dianggap sebagai penghargaan terbesar bagi komuniti tersebut.

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana titipkan ucapan dengan menyokong penuh penganjuran RXZ Members 7.0 2025 pada kali ini.

“Alhamdulillah, terima kasih PMX dan Kerajaan Madani menghargai kami komuniti RXZ Members serta juga warga permotoran lain di Malaysia secara ammnya. Inilah ada satu penghargaan yang besar untuk kami,” katanya.

Harap Program RXZ Members 7.0 Di Gong Badak Berjalan Dengan Lancar

Pada masa yang sama, mereka berharap agar program edisi yang ketujuh itu dapat berjalan dengan lancar.

“Insya-Allah, kita semua doakan program ini dipermudah dan dilancarkan urusan dan juga semua ‘rider’ yang hadir selamat sampai di RXZ Members 7.0 2025. Apa-apa pun luncur,” kata mereka lagi.

PMX Umum Salur RM100,000, Iktiraf Sumbangan Komuniti Permotoran

Terdahulu, Anwar dalam satu kenyataan menyatakan sokongan penuh terhadap program yang menjadi platform utama menghimpunkan peminat dan penggiat permotoran dari seluruh negeri sekaligus mengangkat industri permotoran ke tahap lebih tinggi.

Selain peruntukan awal RM100,000, perbincangan lanjut mengenai keperluan program juga akan diadakan bersama pihak penganjur pada minggu hadapan.

“Selaras dengan tekad kerajaan MADANI untuk memastikan kesejahteraan rakyat, aspek keselamatan akan sentiasa menjadi keutamaan.

“Justeru, saya menyeru semua peserta dan penganjur supaya mematuhi peraturan jalan raya, mengamalkan sikap bertanggungjawab, serta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa demi menjamin kelancaran dan keselamatan sepanjang acara berlangsung.

“Bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang program, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah diarahkan untuk memberikan bantuan dan kawalan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut Ajak Peserta Program Kibarkan Jalur Gemilang

Menerusi kenyataan itu juga, Anwar turut mengajak kesemua peserta program mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan dan cinta akan tanah air.

“Semoga program ini bukan sahaja menjadi wadah permotoran yang positif, tetapi juga medan memperkukuh perpaduan nasional dan semangat patriotisme rakyat Malaysia.

“Kerajaan MADANI akan terus menyokong inisiatif masyarakat yang membawa manfaat bersama, memperkukuh perpaduan, serta membina budaya permotoran yang positif, selamat, dan berdaya maju demi kemakmuran negara,” jelasnya.

Setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim kerana titipkan ucapan dengan…

Posted by RXZ Members – Official on Monday 18 August 2025

Sebelum ini, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata seramai 600 anggota serta pegawai polis akan digerakkan bagi memastikan Program RXZ Members 7.0 berjalan dengan lancar.

Beliau turut memberi jaminan polis tidak akan ‘memukat’ peserta himpunan RXZ Members 7.0 dengan mengadakan Sekatan Jalan Raya (SJR).

Sebaliknya sebarang penguatkuasaan, kawalan ketenteraman awam dan kelancaran trafik menerusi rondaan anggota polis bertugas akan dilaksanakan sepanjang penganjuran program tersebut di Gong Badak.

Namun beliau mengingatkan peserta agar mematuhi undang-undang termasuk mempunyai lesen memandu sah dan tidak mengubah suai motosikal yang tidak mengikut spesifikasi.

“Sebarang pelanggaran undang-undang (oleh peserta RXZ Members) akan diambil tindakan tegas oleh pegawai dan anggota polis yang melakukan rondaan,” katanya.

Source: