SEREMBAN - Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memandang serius berhubung dakwaan penahanan sijil seorang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di Senawang susulan tunggakan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seperti yang tular di aplikasi TikTok.
Pengarah JPNS, Khalidah Omar berkata, pihaknya telah pun mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan secara menyeluruh.
"JPNS mengambil maklum berhubung kandungan tular di platform TikTok berkaitan dakwaan penahanan sijil seorang pelajar.
"Kita memandang serius perkara ini dan telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan menyeluruh," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau menegaskan bahawa, pihak sekolah tidak dibenarkan menahan sijil atau dokumen rasmi murid atas alasan kegagalan membuat sumbangan PIBG.
Ini kerana ujarnya, sumbangan PIBG adalah sukarela dan tidak boleh dijadikan syarat dalam sebarang urusan melibatkan murid.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada siasatan dijalankan.
"JPNNS akan terus memperkukuh aspek pemantauan dan memberi peringatan kepada semua pentadbir sekolah agar sentiasa mematuhi garis panduan serta peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kebajikan dan kepentingan murid sentiasa menjadi keutamaan, selaras dengan aspirasi sistem pendidikan yang adil, inklusif dan berfokuskan kesejahteraan murid," katanya.
Sebelum ini tular di TikTok mengenai dakwaan seorang individu yang mendedahkan sijil Sijil Pelajaran Malaysia(SPM)adik sepupunya yang berjaya memperoleh keputusan 9A telah ditahan oleh pihak sekolah kerana kegagalannya menjejaskan yuran PIBG.
Individu itu mendakwa, adik sepupunya yang bersekolah di sebuah sekolah di Senawang hanya menerima sampul kosong tanpa sijil rasmi ketika dipanggil ke atas pentas sempena majlis anugerah.
Jelasnya, hadiah wang tunai berjumlah RM250 daripada pihak sekolah turut ditahan sementara.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut meluahkan rasa kesal dengan kejadian tersebut di laman Facebooknya dan menyifatkan tindakan menahan anugerah dan sijil kecemerlangan pelajar kerana tunggakan yuran PIBG disifatkan tidak wajar.
Menurut beliau, nilai ihsan dan pertimbangan akal harus diterapkan dalam membuat keputusan terutama melibatkan kebajikan dan masa depan pelajar.
"Tidak perlulah sampai duit dan sijil kecemerlangan ditahan kerana tunggakan yuran PIBG.
"Hidup ini kena ada nilai ihsan dan kemunasabahan pertimbangan akal (common sense), barulah semua hidup dalam berkat dan sejahtera," katanya.
