
MERSING: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan berlaku banjir di Sungai Melikai dan kawasan sekitarnya di daerah ini bermula 4 pagi esok.
Menerusi amaran banjir dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS pada 2 petang ini, jabatan berkenaan memaklumkan ramalan itu susulan amaran hujan berterusan (bahaya) oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada 1.20 tengah hari tadi dan hasil simulasi model ramalan banjir.
Menurut JPS, bencana itu diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
“Bagi daerah Kota Tinggi pula diramalkan banjir pada Khamis ini bermula 4 petang melibatkan Kampung Semangar dan kawasan sekitarnya.
“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” katanya.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.-Bernama
